
“Ramai orang bertanya bila anda akan habis belajar, dapat kerja tetap ke belum, dah berkahwin? tak pun dah beli rumah? atau dah ada anak ke?”
Soalan ini nampak biasa. Tetapi bagi ramai anak muda, ia membawa satu mesej yang tersembunyi.
Bila anda jawab belum, anda mungkin dilihat belum sampai ke tahap yang sepatutnya.
Akibatnya, ramai mula menilai diri berdasarkan pencapaian semata-mata. Mereka percaya kebahagiaan akan datang selepas memperoleh segulung ijazah, jawatan yang baik, pasangan hidup, atau rumah sendiri.
Masalahnya, kehidupan tidak semudah itu.
Kajian terbaru mendapati bahawa pencapaian hidup pada level tertentu memang penting, tetapi ia bukan faktor utama yang menentukan sama ada anda benar-benar akan bahagia dan maju dalam kehidupan.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana perasaan anda terhadap kehidupan yang sedang mereka lalui.
“Mencapai sesuatu level kehidupan boleh memberi kelegaan. Tetapi rasa puas terhadap perjalanan hidup memberi kesan yang jauh lebih besar.”
Fasa kehidupan yang penuh pencarian
Dalam psikologi perkembangan, umur sekitar 18 hingga 29 tahun sering dipanggil sebagai emerging adulthood.
Ia merupakan fasa peralihan daripada remaja kepada dewasa.
Pada usia ini, seseorang sedang mencari identiti diri, membina kerjaya, meneroka hubungan percintaan, menyambung pelajaran dan memikirkan masa depan.
Sebab itu kehidupan pada peringkat ini sering terasa tidak stabil.
Ada yang masih belajar, ada yang baru memulakan pekerjaan, ada yang sedang kekok hubungan berpasangan. Ada juga yang masih belum pasti apa yang sebenarnya mereka mahu lakukan dalam hidup.
Keadaan ini sebenarnya normal. Namun masyarakat sering melihat kejayaan melalui beberapa cheklist:
Sudah habis belajar
Sudah ada pekerjaan tetap
Sudah berkahwin
Sudah ada rumah
Sudah mempunyai anak
Jika semua list ini ditanda, seseorang dianggap berjaya dan selesai misi dalam kehidupan. Haha
Tetapi persoalannya, adakah mereka benar-benar bahagia?
Bahagia tidak sama dengan berjaya
Satu kajian yang melibatkan 857 orang dewasa muda berusia 18 hingga 35 tahun cuba menjawab persoalan ini.
Penyelidik menilai empat aspek utama kehidupan:
Pendidikan
Pekerjaan
Hubungan cinta
Aktiviti masa lapang
Mereka mendapati bahawa tahap kepuasan seseorang terhadap aspek-aspek ini lebih penting daripada pencapaian itu sendiri.
Maksudnya, seseorang yang masih belajar dan menikmati proses pembelajaran mungkin lebih sejahtera mentalnya berbanding graduan yang telah taman belajar namun membenci bidang yang telah dipelajarinya.
Seseorang yang masih bujang dan berasa tenang, puas dengan kehidupannya mungkin lebih bahagia berbanding individu yang sudah berkahwin tetapi tertekan dengan hubungan tersebut.
“Kehidupan bukan sekadar sampai ke destinasi. Cara anda merasai perjalanan itu juga menentukan tahap kesejahteraan diri.”
Apa maksud sebenar “flourishing”?
Penyelidik menggunakan satu konsep yang dipanggil flourishing. Flourishing bukan sekadar tiada kemurungan atau kebimbangan.
Ia merujuk kepada keadaan di mana anda merasakan hidup anda bermakna, mempunyai tujuan, optimistik terhadap masa depan dan merasakan diri anda ada sumbangan kepada orang lain.
Antara soalan yang digunakan untuk mengukur flourishing ialah:
Adakah anda rasa dihormati?
Adakah anda menyumbang kepada kebahagiaan orang lain?
Adakah anda melihat diri anda sebagai seorang yang baik?
Adakah anda berasa hidup anda mempunyai tujuan?
Ini menunjukkan bahawa kesihatan mental tidak bermaksud tiada masalah. Ia juga tentang kehadiran makna, harapan dan kepuasan hidup.
Perkembangan diri juga adalah sebahagian daripada kejayaan
Satu perkara menarik daripada kajian ini ialah seseorang tidak perlu menunggu sehingga matlamat selesai dicapai untuk merasai kesejahteraan hidup.
Proses bergerak ke arah matlamat itu sendiri boleh memberi kepuasan.
Anda mungkin belum memiliki rumah. Belum berkahwin. Belum mencapai sasaran pendapatan yang diimpikan.
Tetapi jika anda merasakan kehidupan sedang bergerak ke hadapan dan usaha yang dilakukan mempunyai makna, ia sudah menyumbang kepada kesejahteraan mental.
Inilah yang sering kita terlepas pandang dalam budaya yang terlalu menekankan pencapaian.
Kita sibuk mengejar garis penamat sehingga terlupa menikmati perjalanan.
Jika anda seorang anak muda, jangan hanya bertanya:
“Apa yang saya dah capai?”
Tanya juga:
“Adakah saya puas dengan kehidupan yang sedang saya bina?”
Jika anda seorang ibu bapa, cuba kurangkan soalan seperti:
“Bila nak kahwin?”
“Bila nak beli rumah?”
“Bila nak dapat kerja tetap?”
Sebaliknya tanyalah:
“Macam mana kehidupan awak sekarang?”
“Awak gembira dengan apa yang awak buat?”
“Awak okay setiap hari?”
Kerana akhirnya, mencapai matlamat memang penting. Tetapi rasa bermakna, puas dan tenang dengan kehidupan yang sedang dijalani jauh lebih penting.
Mencapai impian boleh membawa kegembiraan. Namun menghargai perjalanan menuju impian itulah yang membantu seseorang benar-benar berkembang.






