Kenapa perempuan mungkin menyimpan memori ketakutan dengan cara yang berbeza?

Kajian terbaru mendapati perempuan mungkin menggunakan laluan molekul unik untuk membentuk memori ketakutan yang tidak berlaku kepada lelaki.

Anda pernah eksiden tak? Dengan kampung saya ada satu tempat saya pernah tergolek jatuh naik motor gara-gara konon nak buat lap cecah lutut.

Bayangkan anda pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Selepas kejadian itu, setiap kali melalui lokasi yang sama, jantung mula berdegup laju dan badan terasa tegang. Otak sedang melakukan tugasnya iaitu menyimpan memori ketakutan supaya anda lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Kajian mendapati proses pembentukan memori ketakutan ini mungkin berlaku secara berbeza antara otak wanita dan lelaki.

Penyelidik dari Virginia Tech menemui satu mekanisme molekul yang kelihatan penting dalam pembentukan memori ketakutan pada tikus betina, tetapi tidak pada tikus jantan. (Ya guna tikus, untuk kaji mekanisma asas otak berfungsi cukup sekadar guna tikus).

Penemuan ini membuka persoalan besar tentang bagaimana jantina biologi mempengaruhi cara otak belajar daripada pengalaman yang menakutkan.

“Otak tak sekadar simpan memori. Ia pilih memori mana yang cukup penting untuk disimpan demi kelangsungan hidup.”

Perbezaan antara otak perempuan dan lelaki bukan sekadar pada hormon, tetapi mungkin juga melibatkan mekanisme molekul yang sangat spesifik.

Sistem “tag” yang mengarahkan memori

Di dalam sel otak terdapat satu sistem yang berfungsi seperti nota pelekat kecil. Sistem ini dipanggil K27 polyubiquitination.

Fungsinya adalah menampal “tag” pada protein tertentu supaya protein tersebut tahu apa yang perlu dilakukan selepas itu. Ia boleh diibaratkan seperti meletakkan pelekat pada fail pejabat:

Fail merah perlu dihantar segera.
Fail biru perlu disimpan.
Fail kuning perlu diproses semula.

Dalam kajian ini, penyelidik mendapati sistem “tag” tersebut meningkat dengan ketara dalam bahagian hippocampus tikus betina selepas mereka melalui pengalaman yang menakutkan.

Hippocampus ialah kawasan otak yang sangat penting untuk membentuk memori tentang tempat, peristiwa dan pengalaman hidup.

Apa yang mengejutkan, peningkatan ini langsung tidak berlaku pada tikus jantan.

Apabila sistem ini dimatikan

Untuk memastikan sistem ini benar-benar penting dan bukan sekadar kebetulan, penyelidik menggunakan teknologi penyuntingan gen untuk mengurangkan aktiviti K27 dalam hippocampus.

Apabila sistem ini dikurangkan pada tikus betina, mereka gagal mengingati pengalaman menakutkan tersebut dengan teliti. Kira macam susah nak ingat.

Mereka menunjukkan reaksi ketakutan yang jauh lebih rendah apabila ditempatkan semula di lokasi yang sama.

Ini menunjukkan bahawa female brain bergantung kepada laluan molekul ini untuk mengukuhkan memori ketakutan, manakala male brain nampaknya menggunakan laluan yang berbeza.

Dengan kata lain, kedua-dua jantina boleh belajar daripada pengalaman menakutkan, tetapi “mesin dalaman” yang digunakan mungkin tidak sama.

Hubungan dengan PTSD dan Alzheimer

Satu lagi penemuan menarik ialah hanya satu protein yang didapati menerima “tag” tersebut, iaitu protein ACAT1.

Protein ini terlibat dalam beberapa fungsi penting termasuk:

Pengawalan kolesterol dalam sel otak.
Penghasilan tenaga.
Pengawalan keradangan.

ACAT1 juga pernah dikaitkan dengan penyakit Alzheimer dalam kajian terdahulu.

Ini tidak bermaksud Alzheimer berpunca daripada memori ketakutan cuma penemuan ini memberi petunjuk bahawa mungkin terdapat hubungan yang lebih kompleks antara pembentukan memori, kesihatan otak dan penyakit neurodegeneratif.

Kenapa penemuan ini penting?

Dalam dunia penyelidikan, male brain sering digunakan sebagai model utama kerana dianggap lebih mudah dikawal dari segi faktor hormon.

Akibatnya, banyak mekanisme unik dalam female brain mungkin terlepas pandang selama bertahun-tahun.

Kajian ini mengingatkan kita bahawa wanita dan lelaki mungkin tidak semestinya menggunakan laluan biologi yang sama untuk menghasilkan tingkah laku yang serupa.

Perkara ini menjadi lebih penting apabila kita melihat statistik dunia sebenar.

Wanita didiagnosis dengan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) pada kadar yang lebih tinggi berbanding lelaki. Penyakit Alzheimer juga lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita.

Penemuan ini membuka satu pintu baru dalam memahami bagaimana memori, trauma dan penyakit otak mungkin dipengaruhi oleh jantina biologi.

Similar Posts