Kesihatan usus boleh jadi indikator kesihatan keseluruhan

Kajian menunjukkan Microbial Health Index mungkin boleh digunakan sebagai indikator kesihatan tubuh secara lebih menyeluruh

Setiap orang ada populasi bakteria usus yang berbeza. Individu dengan anxienty, depression, chronic mental disorder, masing-masing dilihat ada komposisi bakteria yang berbeza.

Apa kita makan, cara hidup, tahap kecergasan dan keadaan kesihatan semuanya boleh mempengaruhi ekosistem kecil dalam usus ini.

Genetik kita tak banyak berubah dalam beberapa dekad. Tapi masalah seperti obesiti, gangguan metabolik dan penyakit berkaitan inflamasi semakin meningkat.

Mana taknya, makanan viral bukan main banyak lagi. Yang tinggi gula, lemak tinggi, pelbagai jenis makanan dan minuman. Saya pun kadang mengidam!

Jadi antara perkara yang semakin menarik perhatian penyelidik ialah faktor yang boleh diubah termasuklah mikrobiom usus.

Berbeza dengan genetik, mikrobiom bersifat dinamik. Apa yang kita buat setiap hari boleh meninggalkan kesan.

Penyelidik sebelum ini mengenal pasti corak bakteria tertentu yang lebih banyak dikaitkan dengan individu sihat dan corak lain yang lebih kerap muncul dalam keadaan penyakit. Daripada situ, mereka membangunkan satu ukuran yang dipanggil Microbial Health Index atau MHI.

Secara teknikal, MHI menggabungkan nisbah 97 varian bakteria yang dikaitkan dengan kesihatan berbanding 31 varian yang dikaitkan dengan penyakit.

Maksud mudahnya, data mikrobiom yang sangat kompleks cuba diringkaskan menjadi satu skor untuk setiap individu.

Bayangkan satu hari nanti selain tengok tekanan darah, gula dan kolesterol. Kita mungkin turut boleh tengok “skor kesihatan” bakteria dalam usus.

Apa berlaku bila MHI diuji pada hampir 900 orang?

Dalam kajian baru yang diterbitkan dalam Gut Microbes, penyelidik menguji MHI dalam kumpulan 893 orang dewasa yang menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

Data mereka bukan sekadar sampel najis.

Penyelidik turut melihat rekod perubatan, keputusan makmal, diagnosis penyakit, penggunaan ubat, ujian kecergasan jantung menggunakan Bruce protocol serta soal selidik berkaitan gaya hidup dan pengambilan makanan.

Komposisi mikrobiom usus pula dianalisis menggunakan 16S sequencing.

Apa yang menarik, MHI bukan sahaja berkait dengan kewujudan penyakit. Skor ini juga nampaknya sensitif kepada perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Pengambilan makanan tinggi serat, corak pemakanan Mediterranean dan tahap kecergasan fizikal yang lebih baik dikaitkan dengan profil mikrobiom yang lebih sihat serta profil lipid darah yang lebih baik.

Sebaliknya, pengambilan makanan ultra-proses dan tahap inflamasi subklinikal yang lebih tinggi dikaitkan dengan skor MHI yang lebih rendah.

Mikrobiom bukan benda statik yang kita bawa sejak lahir. Ia seperti ekosistem yang sentiasa menerima kesan daripada bagaimana kita melayan kehendak makan

Kecergasan fizikal pun tinggalkan kesan pada bakteria usus

Satu bahagian yang saya rasa menarik ialah hubungan antara kecergasan fizikal dengan MHI.

Penyelidik menggunakan ujian tekanan jantung Bruce protocol untuk mengukur METs atau metabolic equivalents, iaitu salah satu ukuran kapasiti seseorang melakukan aktiviti fizikal.

Semakin baik kapasiti kecergasan seseorang, semakin tinggi juga kecenderungan skor MHI mereka.

Ini tidak bermaksud bersenam secara automatik menghasilkan satu jenis bakteria tertentu ataupun bakteria itu yang menyebabkan seseorang menjadi cergas.

Hubungan mikrobiom sangat kompleks.

Tetapi ia memberi satu gambaran bahawa kesan senaman mungkin jauh lebih luas daripada sekadar jantung, otot atau pembakaran kalori.

Aktiviti fizikal, pemakanan, inflamasi, metabolisme dan mikrobiom mungkin saling berinteraksi dalam satu sistem yang sama.

Penyelidik juga membina model regresi untuk menganggarkan sejauh mana perubahan gaya hidup tertentu berpotensi mengubah MHI.

Berdasarkan kajian intervensi terdahulu, mikrobiom boleh berubah dalam tempoh yang agak cepat apabila corak pemakanan berubah.

Apa yang menarik tentang mikrobiom, ia mungkin menjadi salah satu ‘reporter’ tentang apa yang sedang berlaku dalam keseluruhan tubuh anda.

Dari ribuan bakteria kepada satu nombor kesihatan

Masalah besar apabila bercakap tentang mikrobiom ialah kerumitannya.

Dalam usus terdapat komuniti mikroorganisma yang sangat besar, dan setiap satu boleh berinteraksi dengan makanan, sistem imun, metabolisme, ubat dan keadaan kesihatan seseorang.

Sebab itu sukar untuk menggunakan data mikrobiom secara praktikal.

MHI cuba menyelesaikan sebahagian masalah tersebut dengan menukarkan corak mikrobiom yang kompleks kepada satu nilai yang lebih mudah dibandingkan.

Dalam konteks ini, mikrobiom boleh dibayangkan seperti satu lagi sistem pemantauan tubuh.

Tekanan darah memberi gambaran tertentu tentang sistem kardiovaskular.

Profil lipid memberi gambaran tentang metabolisme lemak.

Marker inflamasi memberi gambaran tentang aktiviti sistem imun.

Dan mungkin pada masa hadapan, satu indeks mikrobiom boleh memberi gambaran tambahan tentang persilangan antara pemakanan, gaya hidup, persekitaran dan keadaan biologi tubuh seseorang.

Namun satu perkara penting yang ditekankan oleh kajian ini ialah bakteria yang dikaitkan dengan penyakit tidak semestinya menjadi punca langsung penyakit tersebut.

Boleh jadi bakteria itu berubah kerana keadaan tubuh, diet, ubat, inflamasi ataupun pelbagai pendedahan lain yang dialami seseorang.

Rujukan :
Tzipi Braun et al. (2026). Human gut microbiome as a composite health biomarker. Gut Microbes. DOI: 10.1080/19490976.2026.2719055

Similar Posts