Tiga minit sebelum tidur mampu mengubah cara otak anda melihat kehidupan

Kajian psikologi menunjukkan satu latihan mudah ini sebelum anda tidur mampu meningkatkan kesejahteraan emosi sehingga berbulan-bulan.

Kelmarin saya pergi sebuah pasaraya besar. Sepatutnya balik dengan tiga beg besar barangan. Satu beg tertinggal di luar kereta. Sampai rumah cari dah tak jumpa. Bila patah balik memang dah lesap lah orang kebas!

“Dalam hidup ni banyak ujian yang berlaku. Apa pun jangan sampai otak anda biasa sangat mencari yang negatif saja.”

Sebelum tidur malam ini, cuba fikir semula apa yang berlaku sepanjang hari.

Apa perkara pertama yang muncul dalam fikiran?

Mungkin kesesakan jalan raya. Tugasan yang belum siap. WhatsApp yang terlupa dibalas. Kata-kata seseorang yang menyakitkan hati. Biasanya otak ingat perkara yang negatif saja.

Jarang sekali otak kita terus mengingat secawan kopi yang sedap. Gelak tawa anak. Rakan sekerja yang membantu. Momen kehidupan yang indah atau satu tugasan kecil yang akhirnya berjaya diselesaikan.

Ramai menyangka mereka terlalu negatif tapi sebenarnya, itu hanyalah cara otak manusia berfungsi.

Otak anda memang suka kesan ancaman

Tugas utama otak secara biologinya ialah memastikan kita terus hidup.

Secara semula jadinya manusia yang masuk ke hutan, memburu, jika tak alert pada pemangsa mungkin tidak sempat pulang ke rumah.

Tetapi manusia yang terlepas menikmati matahari terbenam, terlepas lawak yang kawan cerita, masih boleh hidup seperti biasa.

Sebab itu otak berkembang dengan memberi keutamaan kepada ancaman berbanding perkara yang menyenangkan. Ahli psikologi memanggil kecenderungan ini sebagai negativity bias.

Akibatnya, itu yang anda lebih mudah mengingati satu kesilapan berbanding sepuluh perkara baik yang berlaku pada hari yang sama.

Otak tidak menyimpan memori secara adil.

Ia memberi keutamaan kepada perkara yang dianggap penting untuk kelangsungan hidup, bukan semestinya perkara yang membuatkan anda bahagia.

Jika anda mudah melayan corak pemikiran ini setiap hari, otak mula menjadikan perkara negatif sebagai laluan pemikiran yang paling cepat digunakan.

Lama-kelamaan, tekanan meningkat. Emosi menjadi lebih mudah terganggu. Kita mula merasakan hidup ini sentiasa dipenuhi masalah, walaupun hakikatnya banyak saja perkara baik turut berlaku.

Berita baiknya, tabiat ini boleh dilatih semula. Dan latihannya hanya mengambil masa sekitar tiga minit setiap malam.

Anda hanya memerlukan tiga perkara baik

Anda boleh cuba melakukan satu tugasan mudah sebelum tidur selama seminggu.

Anda perlu menulis tiga perkara baik yang berlaku pada hari tersebut.

Tak semestinya perkara besar. Perkara kecil pun dikira.

Contohnya:

Sarapan pagi sangat sedap.
Anak memeluk saya sebelum keluar bekerja.
Saya berjaya menyiapkan satu tugasan yang sudah lama ditangguhkan.

Selepas itu, anda boleh menulis juga satu ayat ringkas menerangkan mengapa perkara baik itu berlaku.

Anda tidak sahaja dapat tahap kebahagiaan yang lebih tinggi dan simptom kemurungan yang lebih rendah selepas seminggu, malah kesan positif tersebut mungkin dapat dilihat sehingga enam bulan akan datang.

Manfaat sebenar aktiviti ini bukan datang daripada aktiviti menulis semata-mata.

Sebaliknya, ia datang daripada melatih arah perhatian otak.

“Mungkin hidup anda tak ada perubahan peristiwa tapi yang berubah ialah apa yang otak anda mula perhatikan setiap hari.”

Latihan ini membantu meningkatkan kesejahteraan psikologi, mengurangkan keletihan emosi (burnout), malah ada kajian menunjukkan ia turut membantu memperbaiki kualiti tidur.

Latih otak mencari apa yang berfungsi

Malam ini, sebelum anda tidur, ambil masa sekitar tiga minit sahaja.

Tulis tiga perkara baik yang berlaku hari ini. Tidak perlu sesuatu yang luar biasa.

Boleh jadi perkara paling kecil yang sebenarnya memberi kesan paling besar.

Kemudian, tuliskan mengapa perkara itu boleh berlaku.

Mungkin kerana anda berusaha. Mungkin kerana ada orang yang mengambil berat terhadap anda. Atau mungkin kerana anda membuat satu keputusan yang baik pada hari itu.

Bahagian inilah yang paling penting.

Ia mengajar otak bahawa perkara baik bukan berlaku secara kebetulan semata-mata.

Sebahagian daripadanya wujud hasil tindakan dan pilihan yang kita lakukan setiap hari.

Jika dilakukan secara konsisten selama seminggu, anda mungkin mula menyedari satu perubahan kecil.

Masalah hidup masih ada. Dugaan hidup wujud lagi.

Tetapi otak anda mula belajar melihat apa yang masih berfungsi. Anda hanya perlu melatih otak melihat apa yang selama ini sudah ada di hadapan mata.

“Anda tidak memerlukan kehidupan yang sempurna untuk berasa lebih baik. Anda sebenarnya sudah melalui banyak detik yang baik dalam setiap hari yang berlalu.”

Cuma otak anda terlalu sibuk mencari perkara yang salah sehingga terlupa menyimpan detik indah sebagai memori.

Jadi malam ini, sebelum tidur…

Berikan otak anda ruang untuk mengingati sesuatu yang baik.

Similar Posts