Otak anda tidak Melihat Realiti. Otak anda melihat kisah di sebalik

Otak membina cerita tentang apa yang berlaku, dan cerita itulah yang mempengaruhi emosi, keputusan serta tingkah laku kita.

Walaupun kita berdiri bersebelahan melihat sesuatu yang sama di depan mata tapi peliknya pentafsiran realiti itu tidak akan serupa.

Pernah tak anda terfikir, dua orang melalui situasi yang sama tetapi reaksinya langsung berbeza?

Seorang dimarahi bos lalu menganggap dirinya gagal tapi seorang lagi dimarahi bos tetapi menganggap itu peluang untuk belajar.

Jadi situasi sama, bezanya cerita yang sedang diceritakan oleh otak mereka itu.

Ramai menyangka emosi datang terus daripada apa yang berlaku. Hakikatnya, dalam psikologi dan neurosains, emosi banyak dipengaruhi oleh cara otak anda mentafsir sesuatu peristiwa.

Kita jarang bertindak balas kepada realiti secara terus. Kita bertindak balas melalui naratif yang dibina oleh minda sendiri.

“Anda tak melihat dunia sebagaimana adanya. Anda lihat dunia ikut cerita yang otak anda programkan.”

Cerita yang anda ulang akan menjadi kepercayaan

Otak manusia sangat suka mencari sebab dan akibat.

“Dia tak balas mesej. Mesti dia benci aku.”

“Aku gagal temuduga. Maksudnya aku memang tak layak, lemah.”

“Pasangan aku diam hari ini. Mesti dia dah tak sayang.”

Sedangkan semua itu hanyalah tafsiran, bukannya fakta.

Lama-kelamaan, apabila cerita yang sama diulang berkali-kali, otak mula menyimpannya sebagai kepercayaan. Kepercayaan inilah yang akhirnya mempengaruhi emosi, keputusan dan tingkah laku setiap hari.

Dalam psikologi, Cognitive Behavioural Therapy (CBT) membezakan antara fikiran dan fakta. Manakala Acceptance and Commitment Therapy (ACT) pula mengajar kita supaya tidak mempercayai setiap cerita yang muncul dalam fikiran.

Masalahnya, otak juga mempunyai cognitive bias. Kita cenderung mencari bukti yang menyokong apa yang sudah kita percaya.

Jika anda percaya diri anda tidak cukup baik, otak akan lebih mudah mengingati kegagalan berbanding kejayaan.

Akhirnya, cerita itu semakin kuat walaupun belum tentu benar.

“Ramai keliru dengan realiti. Mereka dikurung oleh cerita yang mereka ulang setiap hari.”

AI semakin bijak tapi manusia masih perlu mentafsir

Hari ini AI boleh menghasilkan laporan, menganalisis data dan menjawab pelbagai soalan dalam beberapa saat tapi AI tidak boleh menentukan maksud sesuatu maklumat kepada kehidupan anda.

Contohnya, AI boleh memberitahu industri pekerjaan sedang berubah.

Namun AI tidak boleh menentukan sama ada perubahan itu sebagai ancaman atau peluang buat anda. Itu anda yang pilih.

AI boleh menerangkan keputusan pemeriksaan kesihatan tapi AI tidak boleh menentukan sama ada anda akan melihat diagnosis itu sebagai penamat hidup atau permulaan untuk menjaga kesihatan dengan lebih baik.

Maklumat semakin banyak. Jadi kemahiran yang semakin penting ialah kebijaksanaan anda mentafsir maklumat tersebut.

Sebab itulah keupayaan mengurus cerita dalam kepala sendiri menjadi semakin bernilai pada zaman AI sekaran ni. Jangan ikut sangat telunjuk AI tu!

Jadilah penulis cerita, bukan mangsanya

Setiap kali anda berasa marah, kecewa atau takut, cuba berhenti seketika dan tanya diri sendiri:

  • Cerita apa yang sedang otak saya ceritakan sekarang?
  • Adakah cerita ini benar, atau sekadar tafsiran?
  • Adakah cerita ini membantu saya, atau menghalang saya?

Ini tak bermaksud kita perlu berfikir positif sepanjang masa. Ada masalah yang memang negatif berlaku dan perlu diselesaikan.

Tetapi banyak penderitaan berlaku kerana kita menganggap tafsiran sebagai fakta.

Semakin anda sedar bahawa otak sentiasa membina cerita, semakin mudah anda mengubah cara melihat kehidupan.

Dan apabila cerita berubah, emosi, keputusan dan tindakan juga akan mula berubah.

“Hidup anda banyak dipengaruhi oleh cerita yang anda percaya. Jadi pilihlah cerita yang bantu anda berkembang, bukan yang mengurung anda.”

Similar Posts