Suara dalam kepala yang tak berhenti

Suara dalam kepala anda boleh jadi pembimbing hidup atau penjara yang menghukum diri sendiri setiap hari.

Suara dalam kepala anda tu okay ke tak?

Kadang-kadang suara itu bagi semangat.

Kadang-kadang pula suara itu asyik mengingatkan kesilapan lama, rasa gagal, rasa tak cukup bagus dan macam-macam lagi.

Dalam psikologi, ini dipanggil sebagai self-talk. Cara kita bercakap dengan diri sendiri di dalam kepala.

Menariknya, suara dalaman ini bukan muncul tiba-tiba. Ia sebenarnya terbentuk sejak bertahun-tahun daripada pengalaman hidup, cara orang bercakap dengan kita, cara kita dibesarkan, dipuji, dimarahi dan bagaimana kita belajar melihat diri sendiri.

Sebab itu ada orang suara dalam kepalanya jadi “coach”.

Ada juga yang suara dalam kepalanya jadi “pengkritik”.

“Cara anda bercakap dengan diri sendiri akan menentukan bagaimana anda melihat dunia dan diri anda.”

Kajian Tentang Self-Talk dan Fungsi Otak

Menurut satu kajian tahun 2021 yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports, penyelidik mengkaji bagaimana cara kita bercakap dengan diri sendiri memberi kesan kepada fungsi otak dan prestasi kognitif.

Mereka membandingkan dua jenis self-talk:

  1. Self-respect – bercakap dengan diri secara positif
  2. Self-criticism – bercakap dengan diri secara negatif

Self-criticism okay saja sebenarnya sebab boleh juga membantu meningkatkan prestasi dalam sesetengah situasi.

Kenapa?

Kerana apabila seseorang mengkritik diri sendiri, otak menjadi lebih berjaga-jaga, lebih fokus dan lebih peka terhadap kesilapan.

Maksudnya, sedikit tekanan dalaman kadang-kadang boleh membuatkan anda lebih alert.

Tetapi pada masa sama, self-respect pun kena anda untuk membantu meningkatkan fungsi otak berkaitan perancangan, pemikiran dan membuat keputusan.

Cuma kalau terlalu banyak bercakap positif dengan diri sendiri pun tak boleh sebab seseorang akan jadi terlalu yakin.

Overconfident.

Bila terlalu yakin, seseorang mungkin mula pandang ringan kesilapan, kurang menerima teguran dan rasa dirinya sentiasa betul.

Sebab itu kajian ini menunjukkan sesuatu yang sangat penting.

Bukan semua self-talk negatif itu buruk dan bukan semua self-talk positif itu baik.

Yang penting ialah keseimbangan.

Anda perlukan keyakinan untuk percaya pada diri sendiri tetapi anda juga perlukan sedikit suara “kritik” supaya anda terus berpijak di bumi nyata dan terus memperbaiki diri.

Bila Inner Critic Menjadi Terlalu Kuat

Masalah berlaku apabila suara negatif itu menjadi terlalu kuat.

Bila suara itu bukan lagi membantu memperbaiki diri, tetapi mula menghukum diri setiap hari.

Kajian tahun 2025 yang diterbitkan dalam BMC Psychology pula cuba melihat bagaimana manusia menguruskan “inner critic” atau pengkritik dalaman ini.

Penyelidik mendapati setiap orang sebenarnya mempunyai “jenis” inner critic yang berbeza.

Antaranya:

  • “The Worrier” – takut gagal
  • “The Non-Feeler” – cuba lari daripada emosi
  • “Not Good Enough” – rasa diri tak cukup bagus untuk orang lain
  • “Hated Self” – jenis paling keras menghukum diri sendiri

Individu yang berjaya mengawal suara negatif ini bukanlah mereka yang cuba senyapkan suara itu sepenuhnya.

Sebaliknya, mereka belajar untuk memahami suara tersebut tanpa membiarkannya mengawal hidup mereka.

Maksudnya, mereka tidak lawan suara itu dengan kebencian.

Tetapi dengan kesedaran dan belas kasihan terhadap diri sendiri.

Kerana kadang-kadang suara negatif dalam kepala sebenarnya datang daripada ketakutan lama.

Takut ditolak. Takut gagal. Takut kecewa. Takut rasa tidak cukup bagus.

Sebab itu semakin anda benci diri sendiri kerana mempunyai suara-suara negatif, semakin kuat suara itu akan menjadi.

Tetapi apabila anda mula belajar memahami dari mana suara itu datang, perlahan-lahan ia kehilangan kuasa untuk menyakiti anda.

“Inner critic bukan musuh yang perlu dibunuh, tetapi suara lama yang perlu difahami.”

Negative Self-Talk Dalam Kehidupan Harian

Dalam kehidupan harian, negative self-talk boleh muncul dalam banyak bentuk contohnya

“Aku memang tak layak dicintai.”

“Aku mesti akan gagal.”

“Aku tak cukup bagus.”

“Aku takkan boleh berubah.”

Masalahnya, bila ayat-ayat ini terlalu kerap diulang dalam kepala, seseorang mula mempercayainya sebagai realiti.

Dan akhirnya tanpa sedar, dia mula sabotaj hidup sendiri.

Belajar Bercakap Dengan Diri Sendiri Secara Lebih Sihat

Sebab itu langkah pertama ialah mula sedar apa sebenarnya “suara latar belakang” dalam kepala anda setiap hari.

Perhatikan ayat yang selalu berulang.

Tulis atau sebutkan dengan kuat. Motivator ke demotivator?

Kadang-kadang bila kita dengar semula apa yang kita selalu cakap pada diri sendiri, baru kita sedar betapa kerasnya cara kita melayan diri sendiri.

Dan bila anda mula sedar bahawa semua itu hanyalah naratif lama yang dipelajari daripada pengalaman hidup, anda mula mempunyai ruang untuk mengubahnya.

Bukan dengan berpura-pura positif sepanjang masa. Tetapi dengan belajar bercakap dengan diri sendiri secara lebih sihat.

Walaupun kadang-kadang ia menghasilkan ketakutan yang tidak rasional atau kerisauan yang berlebihan.

Otak hanya menggunakan pengalaman lama untuk cuba memastikan anda selamat, tidak gagal atau dikecewakan lagi.

Similar Posts