
Bagaimana keyakinan diri anda hari ini? Okay ke tak? Ramai orang percaya keyakinan diri datang daripada kemenangan yang berulang.
Dapat keputusan cemerlang. Naik pangkat. Perniagaan berkembang. Orang puji hasil kerja anda. Ataupun paling kurang kena hensem atau cantik baru boleh ada self confidence.
Anda fikir semakin banyak pencapaian dikumpulkan, semakin tinggi keyakinan diri yang akan terbina.
Tetapi pengalaman hidup mengajar saya sesuatu yang berbeza.
Keyakinan diri jarang musnah kerana satu kegagalan besar. Ia tidak runtuh hanya kerana satu komen negatif atau satu hari yang buruk.
Sebaliknya, ia rosak sedikit demi sedikit melalui satu tabiat anda yang sangat halus.
Tabiat mengkhianati diri sendiri.
“Keyakinan diri tak hilang dengan mudah. Ia bocor perlahan-lahan setiap kali anda tak menunaikan janji pada diri sendiri.”
Apabila anda mula mengabaikan diri sendiri
Cuba ingat berapa kali minggu ini anda berjanji sesuatu kepada diri sendiri?
Bangun awal. Siapkan tugasan. Kurangkan masa skrol telefon. Bersuara apabila sesuatu terasa tidak betul. Hendak tinggalkan tabiat buruk.
Kemudian anda tidak melakukannya.
Sekali dua mungkin tidak memberi kesan.
Tetapi apabila perkara yang sama berulang selama berbulan-bulan, otak mula belajar sesuatu tentang diri anda.
Dalam psikologi, terdapat konsep yang dikenali sebagai self-abandonment iaitu kecenderungan mengabaikan keperluan, perasaan dan prinsip diri sendiri semata-mata untuk mengelakkan konflik, mendapatkan penerimaan orang lain atau melegakan diri sendiri.
Masalahnya, tabiat ini sering kelihatan seperti sifat yang baik.
Kita nampak mudah bertolak ansur. Kita nampak fleksibel. Kita nampak baik hati. Pemaaf kepada diri sendiri.
Namun di sebalik semua itu, kita sebenarnya sedang mengajar diri sendiri bahawa suara hati kita tidak penting.
Sedikit demi sedikit, keyakinan diri mula terhakis.
Otak anda sedang memerhati
Ahli psikologi memperkenalkan konsep self-efficacy iaitu kepercayaan bahawa anda mampu melakukan apa yang anda niatkan.
Namun ia dibina melalui pengalaman melihat diri sendiri menepati janji.
Setiap kali anda berkata:
“Aku akan buat.”
Dan anda benar-benar melakukannya.
Otak merekod satu mesej:
“Aku boleh dipercayai.”
Tetapi setiap kali anda berkata:
“Nanti aku buat.”
Dan anda tidak melakukannya.
Otak merekod mesej yang berbeza:
“Jangan terlalu berharap pada apa yang aku kata.”
Lama-kelamaan, rekod kecil inilah yang menghakis tahap keyakinan diri seseorang.
Sebab itu ramai orang sebenarnya bukannya kurang berbakat. Bukannya juga kurang bijak.
Mereka cuma sudah terlalu lama gagal menepati janji pada diri sendiri.
“Otak menilai berdasarkan apa yang anda lakukan berulang kali. Itulah neuroplasticity.”
Cara membina semula keyakinan diri
Jika keyakinan diri runtuh melalui janji-janji kecil yang dimungkiri, ia juga boleh dibina semula melalui janji-janji kecil yang ditepati.
Tidak perlu perubahan hidup yang dramatik. Mulakan dengan satu perkara yang sangat kecil.
Minum segelas air selepas bangun tidur. Berjalan setiap hari selama lima minit. Tutup telefon bila tiba masa untuk tidur. Balik kerja terus mandi.
Nampak remeh.
Malah mungkin terlalu kecil untuk dianggap penting. Tetapi ingat otak anda sedang memerhati tingkah laku anda.
Setiap kali anda menepati janji itu, otak mula mengumpul bukti baharu.
“Mungkin aku boleh mempercayai diri sendiri semula. Bila aku kata nak buat, memang aku akan buat.”
Dan di situlah keyakinan diri mula tumbuh daripada hubungan yang semakin pulih antara anda dan diri sendiri.






