
Ada orang membesar dalam keluarga yang tenang. Saya sendiri membesar dalam keadaan bebas sebab ayah yang meninggal pada usia kami masih kecil. Ibu saya pula mempunyai masalah kesihatan.
Tetapi secara lumrah dan majoritinya, kalau buat silap, ibu bapa akan tegur dengan baik. Anda diajar memahami kesalahan dan belajar daripada pengalaman.
Tetapi tidak semua orang bernasib baik.
Ada yang membesar dalam rumah yang penuh tengkingan.
Sedikit kesilapan dibalas dengan marah. Ada yang selalu dipukul. Ada yang menerima hukuman yang terlalu berat. Ada yang hidup dalam ketakutan setiap hari kerana tidak tahu bila suara akan meninggi atau kemarahan akan meletus.
Ramai menganggap perkara ini sekadar akan meninggalkan kenangan pahit.
Hakikatnya, pengalaman seperti ini boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam.
Ia boleh mengubah cara otak berkembang.
“Apa yang berlaku pada seorang kanak-kanak tak hanya tersimpan sebagai memori. Ia boleh mengubah struktur dan fungsi otaknya.”
Otak belajar daripada persekitaran
Otak seorang kanak-kanak sangat fleksibel.
Dalam bahasa neurosains, ia dipanggil neuroplasticity. Otak sentiasa belajar dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
Jika seorang kanak-kanak membesar dalam suasana yang selamat, otaknya belajar bahawa dunia adalah tempat yang boleh dipercayai.
Tetapi jika anda membesar dalam suasana yang penuh ancaman, tengkingan dan ketakutan, otak anda mula menyesuaikan diri untuk sentiasa berjaga-jaga.
Masalahnya, apabila otak terlalu lama berada dalam mod berjaga-jaga, ia mula mengubah cara sistem emosi berfungsi.
Kajian mendapati bahawa bagi kanak-kanak perempuan yang mengalami harsh parenting, terdapat penurunan functional connectivity antara amygdala dan anterior cingulate cortex.
Mungkin istilah ini kedengaran teknikal.
Tetapi maksudnya mudah.
Amygdala berfungsi sebagai sistem pengesan ancaman dan pusat pemprosesan emosi.
Anterior cingulate cortex pula membantu mengawal emosi, membuat pertimbangan dan menjadi jambatan antara perasaan dan pemikiran rasional.
Apabila hubungan antara kedua-dua bahagian ini menjadi lemah, proses mengawal emosi juga boleh menjadi lebih sukar.

Kenapa mudah melenting dan sukar mengawal diri?
Bayangkan sebuah kereta yang mempunyai enjin yang sangat kuat tetapi sistem breknya tidak berfungsi dengan baik.
Kereta itu masih boleh bergerak tetapi ia menjadi lebih sukar untuk dikawal.
Perkara yang sama boleh berlaku kepada sistem emosi manusia.
Apabila amygdala menjadi terlalu sensitif dan kawalan daripada bahagian otak yang lebih rasional menjadi lemah, seseorang mungkin lebih mudah:
Bertindak mengikut emosi
Cepat marah
Sukar menenangkan diri
Membuat keputusan terburu-buru
Terlibat dalam tingkah laku berisiko
Menunjukkan tingkah laku agresif
Otaknya menggunakan strategi yang dipelajari sejak kecil untuk bertahan dalam persekitaran yang sukar.
“Apa yang nampak macam masalah tingkah laku kadangkala adalah otak yang sedang bertindak balas terhadap pengalaman lama.”
Membesar dalam keadaan terluka
Ramai orang dewasa yang membesar dalam keluarga yang keras sering menyalahkan diri sendiri.
Mereka tertanya-tanya kenapa mereka cepat marah. Terfikir kenapa mereka mudah tersinggung. Kenapa mereka sering membuat keputusan yang akhirnya mereka sesali.
Mereka menganggap ia kelemahan peribadi.
Sedangkan sebahagian daripada jawapannya mungkin berada pada pengalaman zaman kanak-kanak yang tidak pernah diproses dengan baik.
Apabila seseorang hidup bertahun-tahun dalam keadaan takut, resah, risau, tidak selamat, otaknya belajar bahawa dunia adalah tempat yang tidak selalu okay.
Lalu sistem emosi menjadi lebih sensitif terhadap ancaman walaupun ancaman itu sebenarnya kecil atau tidak wujud.
Sebab itu ada orang yang boleh terasa sangat marah hanya kerana satu komen ringkas. Ada yang terus menganggap orang lain menolak mereka walaupun tiada bukti yang jelas.
Otak mereka sedang cuba melindungi diri.
Cuma mekanisme perlindungan itu kadangkala tidak lagi sesuai dengan realiti semasa. Lebih lagi apabila sudah dewasa.
Otak masih boleh berubah
Berita baiknya, neuroplasticity tidak berhenti apabila kita dewasa.
Otak masih boleh belajar. Hubungan antara bahagian-bahagian otak masih boleh diperkuatkan melalui pengalaman yang lebih sihat.
Terapi psikologi, hubungan yang selamat, latihan regulasi emosi, aktif secara fizikal, interaksi sosial yang sihat, tidur yang berkualiti dan pengurusan tekanan yang baik semuanya boleh membantu.
Masa lalu memang mempengaruhi kita tetapi ia tidak semestinya menentukan masa depan kita.
Apa yang berlaku kepada anda semasa kecil bukan pilihan anda.
Namun proses penyembuhan selepas itu adalah sesuatu yang masih berada dalam kawalan anda.
“Luka zaman kanak-kanak boleh meninggalkan kesan pada otak, tetapi otak yang sama juga mempunyai keupayaan untuk pulih dan berubah.”






