Schizophrenia : Sakit mental kronik yang bukan disebabkan satu gen

Satu kajian besar yang melibatkan lebih 102,000 individu berjaya mengenal pasti 641 gen baharu yang berkait dengan schizophrenia.

Anda tahu apa itu penyakit schizophrenia? Waktu saya pergi buat laporan polis selepas kematian arwah abang saya, pegawai itu sendiri tak pernah dengar istilah ini.

Schizophrenia adalah sakit mental yang kronik dikaitkan dengan berlaku delusi dan halusinasi.

Biasanya kalau anda nampak ada individu yang tidak terurus, jalan di tepi jalan, bercakap seorang diri, kadang-kadang tergelak, menjerit, marah, itulah mereka yang menderita schizophrenia dan tidak pernah dapatkan rawatan.

Jika dapatkan rawatan insyaAllah individu tersebut dapat menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Malah kawan saya yang dapatkan rawatan awal berjaya pulih sepenuhnya.

Ramai orang tahu bahawa schizophrenia mempunyai kaitan dengan faktor genetik. Jika ada ahli keluarga yang menghidap schizophrenia, risiko seseorang untuk mengalami gangguan yang sama juga meningkat.

Bukan genetik penyakit itu secara spesifik yang menurun cuma dia punya faktor risiko saja.

Jadi bila sebut faktor risiko, bermaksud semua orang ada risiko masing-masing untuk menghidap penyakit mental kronik ini, cuma anda individu risk factornya tinggi. (Sebab keturunan)

Selama ini pengkaji tahu gen memainkan peranan, tetapi mereka tidak pasti gen yang mana satu sebenarnya terlibat.

Kini satu kajian besar yang diterbitkan dalam jurnal Nature Genetics mungkin mengubah cara kita memahami schizophrenia buat selama-lamanya.

Melalui analisis data genetik lebih daripada 102,000 individu dan sampel tisu otak daripada pelbagai kawasan otak manusia, para penyelidik berjaya mengenal pasti 641 gen baharu yang sebelum ini tidak dikaitkan dengan schizophrenia.

Penemuan ini menunjukkan bahawa schizophrenia bukan sekadar masalah satu atau dua gen yang rosak.

Ia lebih kompleks daripada itu.

“Schizophrenia bukan masalah satu gen. Ia adalah masalah rangkaian gen yang saling berhubung.”

Kesilapan yang saintis lakukan selama ini

Bayangkan anda kehilangan kunci rumah di depan rumah pada waktu malam. Anda tidak sempat masuk lagi kunci dah terjatuh.

Tetapi anda hanya mencarinya di bawah satu lampu jalan depan kerana kawasan itu terang.

Walaupun kunci itu sebenarnya mungkin jatuh jauh dari kawasan lampu tersebut.

Menurut penyelidik, inilah yang berlaku dalam kebanyakan kajian genetik sebelum ini.

Kebanyakan kajian hanya melihat variasi DNA yang berada sangat dekat dengan sesuatu gen.

Jika mutasi itu berada jauh, ia sering diabaikan.

Masalahnya, otak manusia tidak berfungsi secara local di satu tempat sahaja.

Seperti media sosial yang menghubungkan manusia dari lokasi berbeza, gen juga berkomunikasi merentasi jarak yang jauh di dalam genom.

Satu perubahan kecil pada satu bahagian DNA boleh mempengaruhi gen lain yang terletak sangat jauh.

Apabila saintis mula melihat hubungan jarak jauh ini, mereka menemui ratusan gen yang sebelum ini langsung tidak kelihatan.

“Selalunya kita gagal jumpa jawapan sebab rupanya kita cari di tempat yang salah.”

Otak berfungsi sebagai sebuah rangkaian

Kajian ini mendapati bahawa gen-gen yang terlibat dalam schizophrenia tidak bekerja secara berasingan.

Mereka membentuk rangkaian yang kompleks.

Seolah-olah terdapat ribuan pekerja dalam sebuah organisasi besar yang sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.

Apabila komunikasi ini terganggu, fungsi otak juga mula terganggu. Antara sistem utama yang dikenal pasti ialah:

  • Sistem glutamat yang membantu penghantaran isyarat antara neuron.
  • Komunikasi sinaps antara sel-sel otak.
  • Sistem imun otak.
  • Proses perkembangan otak sejak dalam kandungan.

Ini sangat penting kerana selama ini ramai menyangka schizophrenia berpunca daripada satu bahan kimia tertentu dalam otak.

Hakikatnya, gangguan ini mungkin melibatkan pelbagai sistem biologi yang bekerja serentak.

Sebab itu simptom schizophrenia juga sangat pelbagai.

Ada individu mengalami halusinasi. Ada yang mengalami delusi. Menurut artikel yang saya pernah baca juga, boleh jadi delusi berlaku dulu kemudian halusinasi.

Ada yang kehilangan motivasi, emosi menjadi tumpul atau mengalami kesukaran berfikir dengan jelas.

Antara langkah pencegahan

Antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit ini ialah chronotype (waktu tidur malam anda), kestabilan dopamine (neurotransmitter yang berkait dengan dorongan kehendak, motivasi, pergerakan), serta keseimbangan hormon stress kortisol. (Sama ada ibu bapa anda jenis panas baran, jenis tidak selalu relaks, stress sensitiviti anda tinggi)

Selain itu pastikan anda cukup zat besi, kerana ia berkait dengan Oligodendrocytes, sistem untuk menghasilkan lapisan pelindung saraf, myelin. Apabila lapisan ini bermasalah, penghantaran isyarat antara neuron juga bermasalah.

Dalam masa yang sama anda kena rajin belajar dan meneroka pelbagai perkara baru, ini untuk menggalakkan pengaktifan sistem NMDA, agar pemikiran anda lebih fleksibel dan terbuka.

Jaga sistem glutamat anda dengan tidak membiasakan diri berterusan melayan fikiran sehingga berjam-jam lamanya. Sibukkan diri dapat bantu meredakan sistem Default Mode Network (fikiran menerawang).

Faktor lain seperti neuroinflammation juga perlu diberi perhatian. Jadi sesekali dapatkan makanan anti radang seperti minyak ikan omega 3. Keradangan ini puncanya pelbagai, boleh jadi stres kronik tempat kerja atau kehidupan. Jadi perlu ada strategi pengurusan stres. Boleh juga disebabkan parasite toxoplasma dari najis kucing. (Saya rasa abang saya mungkin ada faktor ini, biasa orang duduk kampung pengurusan kebersihan kucing tidak diambil berat)

Pastikan juga sistem tenaga tubuh anda berada pada tahap optimum, jangan bazirkan tenaga kepada perkara yang sia-sia seperti bergaduh di ruang komen media sosial, berfikir masalah tanpa selesai, hiburan digital tanpa batasan dan aktiviti ketagihan. Selalu aktif secara fizikal agar penghasilan tenaga tubuh badan anda efisien.

Masa depan rawatan Schizophrenia mungkin lebih tepat

Penemuan ini membuka jalan kepada apa yang dipanggil sebagai precision psychiatry atau rawatan psikiatri terarah.

Hari ini, ramai pesakit menerima rawatan yang hampir sama walaupun punca biologi di sebalik penyakit mereka mungkin berbeza.

Pada masa hadapan, saintis berharap mereka dapat mengenal pasti rangkaian gen yang dominan pada setiap individu.

Ini membolehkan rawatan yang lebih spesifik diberikan berdasarkan profil biologi seseorang.

Sebab kalau anda nak tahu, schizphrenia ke, bipolar ke, OCD ke, Depression ke, hampir semua gangguan mental secara neurologi dilihat puncanya sama ketidakstabilan neurochemical seperti dopamin terutamanya.

Dengan kata lain, di masa hadapan dua pesakit yang mempunyai diagnosis schizophrenia mungkin berpeluang menerima rawatan yang berbeza kerana mekanisme genetik yang mendasari penyakit mereka tidak sama.

Ini merupakan satu langkah besar ke arah rawatan yang lebih berkesan dan lebih tertumpu.

Teringat arwah abang saya dulu, kesan sampingan selepas ambil ubat memang sangat teruk.

“Semakin kita memahami macam mana gen berkomunikasi, semakin dekat kita kepada rawatan yang benar-benar sesuai untuk setiap individu.”

Bagi saya, kajian ini juga memberi satu peringatan penting.

Schizophrenia bukanlah masalah kelemahan karakter, kurang iman atau kurang motivasi seperti mana yang orang sering sebutkan.

Ia adalah gangguan otak yang sangat kompleks melibatkan rangkaian gen, perkembangan otak dan sistem biologi yang saling berinteraksi.

Semakin banyak kita memahami sains di sebalik penyakit ini, semakin kurang stigma yang akan wujud dalam masyarakat. Bantu saya dengan sebarkan maklumat tentang gangguan mental ini.

Rujukan

Rossi, F., et al. (2026). Co-expression-based models improve eQTL predictions for transcriptome-wide association studies and highlight new schizophrenia-associated genes. Nature Genetics.

Similar Posts