Cahaya waktu malam mungkin ganggu tidur individu dengan mental kronik

Individu dengan schizophrenia yang terdedah kepada lebih banyak cahaya pada waktu malam menunjukkan tidur yang lebih pendek, kurang efisien dan lebih kerap terjaga.

Masalah tidur memang antara isu yang sangat biasa dalam kalangan individu dengan schizophrenia sehingga ganggu kualiti hidup, meningkatkan simptom psikiatri, fungsi kognitif merosot dan keupayaan seseorang menjalani aktiviti harian terjejas.

Kita dah lama tahu bahawa cahaya pada waktu malam boleh mengganggu sistem circadian badan.

Secara ringkasnya, otak anda ada sistem masa dalaman yang membantu tentukan bila anda patut berjaga dan bila badan patut mula bersedia untuk tidur.

Masalahnya, otak tak semestinya anggap cahaya waktu malam sebagai sesuatu yang neutral.

Cahaya, terutamanya komponen cahaya biru, boleh menjadi signal kepada sistem circadian bahawa keadaan masih belum betul-betul “malam”.

Tetapi sebelum ini, hubungan antara cahaya waktu malam dengan tidur dalam kalangan individu dengan schizophrenia masih belum banyak dikaji menggunakan ukuran tidur yang objektif.

Kajian terbaru daripada penyelidik di Jepun cuba melihat perkara ini dengan lebih dekat.

“Boleh jadi cahaya yang kita anggap kecil, tak ada apa pun mungkin masih dibaca oleh otak sebagai signal persekitaran.”

Kajian ini melibatkan 225 pesakit luar dewasa dengan schizophrenia yang menyertai Light Exposure and Neurobiology in Schizophrenia atau LENS study.

Peserta memakai alat actigraphy pada pergelangan tangan secara berterusan selama tujuh hari.

Alat ini digunakan untuk mengukur pola tidur dan pendedahan kepada cahaya.

Dalam masa yang sama, penyelidik meletakkan photometer berhampiran tempat tidur untuk mengukur tahap cahaya persekitaran pada waktu malam.

Peserta turut merekodkan waktu tidur dan waktu bangun dalam sleep diary.

Kualiti tidur secara subjektif pula dinilai menggunakan Pittsburgh Sleep Quality Index.

Median tahap pencahayaan waktu malam yang direkodkan ialah sekitar 1.4 lux melalui actigraphy dan 4.1 lux melalui photometer.

Kumpulan dengan cahaya lebih tinggi tidur hampir sejam kurang

Selepas penyelidik mengambil kira beberapa faktor lain seperti umur, jantina, merokok, BMI, simptom psikiatri, pendedahan cahaya waktu siang, waktu tidur, panjang siang dan penggunaan ubat, satu corak masih kelihatan.

Individu dalam kumpulan yang terdedah kepada cahaya malam paling tinggi menunjukkan

Sleep efficiency sekitar 10% lebih rendah.

Jumlah tidur mereka pula sekitar 55.6 minit lebih pendek berbanding kumpulan dengan pendedahan cahaya paling rendah.

Mereka juga mengambil masa lebih lama untuk tertidur.

Selepas tertidur, mereka mencatatkan sekitar 31 minit lebih banyak masa berjaga sepanjang malam.

Pendedahan kepada cahaya biru yang lebih tinggi turut menunjukkan pola hubungan yang hampir sama.

“Dalam kajian ini, beza cahaya waktu malam dikaitkan dengan hampir satu jam perbezaan jumlah tidur”

Hubungan ini muncul apabila tidur diukur secara objektif menggunakan actigraphy.

Tetapi perkara yang sama tidak begitu jelas apabila peserta sendiri menilai kualiti tidur mereka melalui soal selidik.

Kenapa?

Ada beberapa kemungkinan.

Seseorang boleh mengalami tidur yang lebih terfragmentasi tanpa benar-benar menyedari berapa banyak kali mereka terjaga.

Tambahan pula, ukuran subjektif dalam kajian ini melihat pengalaman tidur sepanjang bulan sebelumnya, manakala actigraphy dan pendedahan cahaya diukur secara lebih spesifik selama tujuh hari.

Jadi kedua-dua kaedah itu sebenarnya tidak mengukur tempoh pengalaman yang sama.

Jadi perlu tidur dalam bilik gelap?

Kajian ini berbentuk cross-sectional.

Maksudnya, penyelidik menemui hubungan antara lebih banyak cahaya waktu malam dengan tidur yang lebih buruk.

Tetapi kajian ini belum boleh membuktikan bahawa cahaya tersebutlah yang menyebabkan masalah tidur.

Masih banyak perkara yang mungkin terlibat.

Contohnya rutin harian, keadaan bilik, simptom individu, corak aktiviti, ubat dan faktor gaya hidup lain.

Walau bagaimanapun, cahaya merupakan salah satu faktor persekitaran yang relatif mudah untuk diubah.

Kalau lampu terang tak diperlukan ketika tidur, mungkin tak ada keperluan untuk biarkan seluruh bilik bercahaya sepanjang malam.

Jadi kurangkan cahaya yang tidak diperlukan. Gelapkan bilik sebanyak yang selesa dan selamat. Kurangkan hadap skrin phone sebelum tidur.

Kalau perlukan lampu malam untuk bergerak atau ke tandas, gunakan pencahayaan seminimum yang diperlukan.

“Sleep hygiene perlu jaga pukul berapa anda tidur termasuk juga persekitaran yang diterima oleh otak sepanjang malam”

Apa yang menarik tentang kajian ini ialah ia membuka kemungkinan bahawa pengurusan cahaya mungkin menjadi sebahagian daripada strategi sokongan tidur bagi individu dengan schizophrenia. Malah untuk orang kebanyakkan juga

Ia murah. Tidak invasif. Dan tidak melibatkan penambahan ubat.

Kajian ini menunjukkan bahawa persekitaran tidur mungkin lebih penting daripada yang kita sangka, terutama bagi populasi yang memang sudah mempunyai risiko gangguan tidur yang tinggi.

Rujukan

Ryota Miyake et al. Light exposure at night and subjective and objective sleep parameters in patients with schizophrenia: A cross-sectional analysis of the LENS study. Psychiatry Research (2026). DOI: 10.1016/j.psychres.2026.117302.

Similar Posts