Kemahiran hidup yang kritikal: Bertahan dalam ketidakpastian

Dalam banyak keadaan kejayaan bergantung pada keupayaan untuk bertahan dalam ketidakpastian.

“Kau pandai, kreatif, boleh lah berjaya” Itu biasa kita dengar.

Kita selalu fikir kejayaan bergantung pada kepintaran, bakat, atau kerja keras. Semua itu memang membantu.

Tetapi ada satu kemahiran yang jauh lebih penting, namun jarang diajar. Benda ni kalau tak ada memang susah untuk anda pergi jauh dalam apa yang anda buat.

Keupayaan untuk bertahan dalam ketidakpastian.

Orang yang mampu bertahan paling lama ketika hasilnya masih belum jelas, selalunya ialah orang yang akhirnya berjaya.

Realiti kehidupan, pendapat saya kita semua secara purat lebih kurang sama kemampuan. Cuma individu yang paling hebat bila dia tidak berhenti terlalu awal.

Neurosains dan psikologi sebenarnya sudah lama menunjukkan bahawa otak manusia memang tidak gemar hidup dalam keadaan yang tidak pasti.

Sebab itu ramai yang mengalah kerana mereka tak tahan menunggu jawapannya. Bukan senang bertahan bila rasa tak pasti apa akan berlaku.

Otak anda tidak suka perkara yang tidak pasti

Fungsi utama otak adalah memastikan anda terus hidup.

Sepanjang sejarah perkembangan manusia, perkara yang tidak diketahui selalunya membawa risiko. Bunyi dari dalam semak mungkin pemangsa. Jalan yang belum pernah dilalui mungkin berbahaya. Tidak mengetahui apa penyakit yang berlaku boleh mengancam nyawa.

Sebab itu otak belajar satu perkara.

Yang diketahui lebih selamat daripada yang tidak diketahui.

Hari ini ancamannya sudah berubah. Anda tidak lagi lari daripada ancaman pemangsa atau wabak penyakit.

Tetapi otak masih memberi reaksi yang hampir sama apabila anda memulakan perniagaan, menulis buku, menghasilkan kandungan media sosial atau belajar kemahiran baharu tanpa jaminan hasil.

“Bagaimana kalau gagal?”

“Kalau tak ada siapa beli macam mana?”

“Kalau semua usaha ini sia-sia?”

Semua persoalan itu mengaktifkan sistem amaran dalam otak. Walaupun tiada bahaya sebenar, otak tetap mahu kita menghentikan ketidakselesaan itu.

Sebab paling mudah untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu ialah…

Berhenti. Boleh tindakan itu sudah betul tapi anda cepat berhenti untuk membuatkan otak kembali rasa “selamat.”

“Ramai dari kita ada kemampuan dan kebolehan. Cuma gagal sebab tak mampu duduk lama dalam keadaan ‘masih belum tahu’.”

Bakat membuka pintu. Ketahanan membuatkan anda kekal

Pada peringkat awal sesuatu perjalanan, hampir tiada siapa mempunyai bukti bahawa usaha mereka akan berjaya. Percayalah cakap saya.

Saya pernah bermula dengan bisnes servis video, waktu itu saya tidak ada bukti pun saya mampu untuk bangunkan bisnes itu. Tapi saya redah saya.

Anda belum tahu sama ada bisnes itu akan berkembang.

Belum tahu sama ada video yang dihasilkan akan mendapat perhatian.

Belum tahu sama ada kerja yang anda apply sesuai dengan diri anda.

Semuanya masih kabur.

Dalam psikologi, terdapat satu konsep yang dipanggil distress tolerance.

Ia merujuk kepada keupayaan anda untuk terus berfungsi dan membuat keputusan walaupun sedang berhadapan dengan tekanan emosi atau ketidakpastian.

Orang yang mempunyai distress tolerance yang tinggi tidak menunggu sehingga semua keraguan hilang.

Mereka terus melangkah walaupun masih ada rasa takut.

Inilah sebabnya kita sering melihat individu yang tidak semestinya paling bijak akhirnya mencapai kejayaan.

Mereka hanya bertahan lebih lama daripada orang lain.

Macam bisnes video saya dulu awalnya perlahan. Bila belajar cara perniagaan sebenar, baru nampak jalannya.

“Kadang saya pun ada keraguan. Tapi yang saya ingatkan diri keyakinan ialah kemampuan untuk terus bergerak walaupun keraguan masih bersuara.”

Berita baiknya? Distress tolerance bukan bakat semula jadi. Ia boleh dilatih.

Cara melatih otak menjadi lebih tahan

Seperti membina otot, ketahanan terhadap ketidakpastian juga memerlukan latihan yang konsisten.

Mulakan sebelum anda benar-benar bersedia. Memang rasa yakin 100% tak akan hadir. Cuma bila anda belajar, berstrategi, bersiap sedia, mudah untuk anda teruskan.

Ramai menunggu sehingga yakin barulah mahu bertindak. Hakikatnya, keyakinan biasanya muncul selepas anda berjaya melalui beberapa pengalaman yang penuh ketidakpastian.

Jadi nilai prestasi diri berdasarkan usaha, bukan keputusan. Macam semalam saya buat satu konten yang agak susah, tapi rasa puas hati. Viewnya tak banyak tapi tetap rasa usaha yang berbaloi.

Anda tidak mengawal algoritma media sosialAnda tidak mengawal pasaran. Anda tidak mengawal reaksi orang lain. Kadang orang komen sekadar untuk komen. Tak berniat pun. Kita yang terasa hati.

Tetapi anda mengawal sama ada hari ini anda usaha, belajar, berlatih atau menghasilkan sesuatu.

Oleh itu pendekkan tempoh yang anda fikirkan. Daripada bertanya, “Adakah usaha ini akan berjaya tahun depan?”

Tanya diri, “Adakah aku sudah melakukan perkara yang sepatutnya aku buat hari ini?”

Otak lebih mudah menghadapi cabaran yang dekat berbanding sesuatu yang terlalu jauh dan kabur.

Akhir sekali, berhenti melihat rasa tidak pasti sebagai tanda anda berada di jalan yang salah.

Mungkin ia sebenarnya petanda bahawa anda sedang melakukan sesuatu yang belum pernah anda lakukan sebelum ini. Benda tak pernah buat, memang lah rasa resah, gelisah.

Dan itu adalah perkara yang normal.

“Anda tak perlu menghilangkan kabus. Anda hanya perlu terus berjalan walaupun kabus itu masih ada.”

Kejayaan lebih kerap menjadi milik mereka yang mampu terus melangkah walaupun jawapannya masih belum kelihatan.

Jadi jika hari ini usaha anda masih belum menunjukkan hasil…

Kemahiran kerja masih belum pakar. Pelanggan masih belum datang. Produk masih belum laris.

Jangan terlalu cepat menganggap anda berada di jalan yang salah.

Mungkin ini hanyalah fasa di mana kebanyakan orang memilih untuk berhenti.

Jika anda mampu bertahan lebih lama sedikit , kemungkinan besar di situlah bezanya antara mereka yang sekadar mencuba dan anda yang akhirnya berjaya.

Similar Posts