
Boleh jadi kemalasan yang melanda anda tu bukan sebab perwatakan anda, boleh jadi memang kerja yang anda kena buat tu berat. Anda tak mampu. Malangnya dari aspek psikologi anda dah terkesan lalu anda melabel diri anda pemalas.
Lalu domino effect pun berlaku, daripada satu perkara gagal dibuat, perkara kecil pun sudah rasa tak mampu.
Pernah tak anda duduk pegang phone. Nak balas satu mesej saja. Tapi entah kenapa, tangan tak bergerak.
Nak mula menulis artikel. Nak try update content dekat media sosial. Nak bersenam. Nak kemas rumah. Nak telefon seseorang tanya pasal peluang kerja.
Semua nampak mudah. Tapi rasa sangat berat.
Ramai orang fikir ini masalah motivasi. Kononnya anda malas, kurang disiplin atau tidak cukup kuat mental.
Sebenarnya, dalam banyak keadaan, masalahnya bukan motivasi.
Masalahnya ialah otak anda sedang memproses terlalu banyak perkara serentak dan mendalam seolah olah ‘kesempurnaan akhir’ perlu berlaku selepas langkah bermula dilaksanakan.
“Boleh jadi benda tu memang anda tak mampu buat, sebab kalau benda senang, macam cuma kena bangun dari katil untuk tutup kipas, anda boleh saja buat. Jadi anda bukanlah pemalas. Bila benda “rasa” susah, memang rasa berat”
Tugas yang sebenarnya mudah jadi berat
Bayangkan anda kena hantar satu mesej. Bunyi macam kerja tiga minit. Tetapi otak anda sebenarnya sedang melakukan lebih daripada itu.
Perlu ingat semula apa matlamat anda. Fikir nada ayat yang sesuai. Jangka bagaimana penerima akan membalas. Takut tersalah tulis. Risau disalah faham.
Semua proses ini berlaku sebelum anda menaip perkataan pertama.
Inilah yang dipanggil cognitive load.
Working memory dalam otak mempunyai kapasiti yang terhad. Semakin banyak maklumat yang perlu dipegang pada satu masa, semakin berat sesuatu tugas itu akan dirasakan.
Sebab itu projek yang besar sering membuatkan kita membeku. Projek itu memang anda mampu buat, tapi beban terasa sebab otak anda cuba memegang keseluruhan projek sekaligus.
“Itu saya cakap, tanpa sedar kadang kita ada pemikiran di mana result nanti kena perfect baru boleh start. Itu yang buat rasa malas”
Otak tidak suka ketidakpastian
Otak manusia sentiasa membuat anggaran. Berbaloi tak buat kerja ini? Berapa banyak tenaga diperlukan? Apa jadi kalau gagal? Apa langkah pertama?
Kalau jawapannya tidak jelas, otak akan mula menangguhkan tindakan. Ini cara otak menjimatkan tenaga dan mengurangkan risiko.
Bila difikirkan semula, otak kita ni kan bijak, jadi bila sesuatu perkara itu rasa ‘malas’ nak buat. Jadi besar kemungkinan memang anda tak ada kemampuan untuk buat perkara itu.
Sama ada skill tak cukup, ilmu tak cukup, idea tak ada, bantuan tak ada, jalan keluar tak nampak. Tapi ini semua benda yang boleh setel kemudian..
Struktur kerja tu perlu bijak. Anda kena mengurangkan geseran (friction) sebelum memulakan tugas. Contohnya, jangan tulis dalam senarai tugasan:
❌ Siapkan projek.
Sebaliknya tulis:
- Buka fail.
- Baca semula perenggan terakhir.
- Tulis satu ayat.
- Hantar satu soalan kepada rakan.
Semakin kecil langkah pertama, semakin mudah otak memberikan lampu hijau untuk bertindak.

Jangan lawan perasaan. Fahami apa yang ia cuba beritahu.
Ramai orang suka berkata, “Jangan ikut perasaan.” Hakikatnya, perasaan tu bukan musuh. Perasaan ialah maklumat.
Kalau anda rasa terbeban, mungkin tugas itu terlalu kabur.
Kalau anda rasa takut, mungkin anda terlalu mementingkan hasilnya.
Kalau anda rasa penat, mungkin otak memang kekurangan tenaga.
Ini tidak bermaksud kita perlu mengikut setiap emosi tapi kita juga tidak perlu mengabaikannya.
Soalan yang lebih baik perlu ditanya
“Apa yang membuatkan tugasan ini aku rasa begitu berat?”
Kadang-kadang jawapannya sangat mudah. Kurang tidur agaknya. Terlalu banyak gangguan. Terlalu banyak pilihan yang perlu dibuat.
Atau anda cuba menyelesaikan keseluruhan masalah dalam kepala tanpa ada strategi yang jelas.
“Jadi anda tak lah malas, cuma otak tu perlu sedar ia beban yang mampu ditanggung.”
Apabila anda rasa sukar untuk bermula, jangan terus paksa diri mencari motivasi. Sebaliknya, ringankan dahulu kerja yang perlu dilakukan.
Kecilkan langkah pertama. Tulis apa yang ada dalam kepala. Kurangkan pilihan yang perlu dibuat.
Ingat selalunya, halangan terbesar ialah pada beban mental yang terpaksa ditanggung oleh otak sebelum anda sempat bermula.






