Cara anak bercakap berkait dengan tahap kesihatan mental

|

Cara kanak-kanak menyusun bahasa ketika bercakap tentang stres boleh memberi petunjuk tentang risiko masalah kesihatan mental sehingga enam tahun kemudian.

Ada satu benda menarik tentang anak-anak. Kadang-kadang kita terlalu fokus pada apa yang mereka cakap.

“Kenapa sedih?”

“Siapa kacau?”

“Apa jadi dekat sekolah?”

Tapi satu kajian terbaru menunjukkan mungkin ada satu lagi perkara yang kita patut beri perhatian:

Cara mereka bercakap.

Bukan semata-mata cerita yang keluar daripada mulut mereka. Tetapi bagaimana mereka menyusun ayat, menyambungkan satu idea kepada idea lain dan menggunakan perkataan-perkataan kecil dalam percakapan.

Menariknya, corak ini mungkin memberi petunjuk tentang risiko masalah kesihatan mental mereka bertahun-tahun sebelum simptom menjadi jelas.

Kadang-kadang apa yang anak cuba sembunyikan tidak muncul pada isi ceritanya. Tetapi boleh muncul pada cara otaknya menyusun bahasa.

AI boleh nampak corak yang manusia terlepas pandang

Penyelidik menggunakan Natural Language Processing atau NLP untuk menganalisis rakaman temu bual lebih 200 kanak-kanak berumur antara 9 hingga 13 tahun.

Mereka diminta bercakap tentang pengalaman hidup yang memberi tekanan kepada mereka.

Kemudian, keadaan kesihatan mental mereka diikuti sehingga enam tahun selepas itu.

Apa yang mengejutkan?

Model komputer yang menganalisis bahasa mereka berjaya meramalkan masalah psikologi pada masa hadapan dengan lebih baik berbanding penilaian tradisional yang dibuat berdasarkan tahap tekanan hidup mereka.

Malah, ciri bahasa yang digunakan mampu menerangkan lebih dua kali ganda variasi risiko berbanding faktor risiko yang dinilai oleh manusia.

Tetapi perkara paling menarik bukanlah perkataan seperti “sedih”, “takut” atau “marah”.

Sebaliknya, struktur bahasa.

Contohnya penggunaan kata penghubung, preposisi, kata ganti diri dan bagaimana seseorang menghubungkan pemikirannya semasa bercakap.

Perkataan seperti dan, tetapi, saya, kepada nampak kecil.

Tetapi apabila beratus-ratus atau beribu-ribu perkataan dianalisis sebagai satu corak, ia boleh memberikan gambaran tentang bagaimana seseorang memproses pengalaman hidupnya.

Dalam psikologi, kadang-kadang perkataan yang nampak paling tak penting sebenarnya membawa maklumat paling banyak tentang cara seseorang berfikir.

Bukan bermaksud kita boleh diagnosis anak melalui percakapan

Bahagian ini sangat penting.

Jangan selepas membaca kajian ini kita mula dengar anak banyak sebut “saya”, kemudian terus fikir:

“Habislah. Anak aku ada masalah mental.”

Bukan begitu.

Kajian ini bukan alat diagnosis untuk ibu bapa.

Ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah besar data bahasa dianalisis menggunakan algoritma, terdapat corak tertentu yang berkait dengan risiko psikopatologi pada masa hadapan.

Malah, penyelidik sendiri menyatakan kajian ini masih perlu diuji pada kumpulan yang lebih besar.

Tetapi kajian ini membuka satu ruang yang sangat menarik.

Selama ini kita mencari biomarker kesihatan mental melalui pelbagai cara.

Ada yang mengukur kortisol, melihat tindak balas fisiologi terhadap stres. Ada juga kajian berkaitan panjang telomere.

Masalahnya, banyak kaedah ini memerlukan makmal, peralatan atau prosedur tertentu.

Percakapan pula berbeza. Semua orang bercakap. Telefon kita pun sudah boleh merakam suara.

Sebab itu pada masa hadapan, tidak mustahil rakaman percakapan boleh menjadi salah satu alat saringan awal yang murah dan tidak invasif.

Bukan untuk menentukan seseorang “sakit”.

Tetapi untuk mengenal pasti siapa yang mungkin memerlukan perhatian lebih awal.

Dengarkan anak sebelum mereka terpaksa menjerit

Kajian ini juga menemui sesuatu yang sangat manusiawi.

Walaupun struktur bahasa lebih kuat dalam membuat ramalan, isi cerita mereka tetap penting.

Cerita tentang keganasan fizikal dan penolakan sosial yang ekstrem mempunyai kaitan dengan risiko yang lebih tinggi.

Sebaliknya, cerita tentang sokongan sosial, aktiviti sukan, kelab sekolah dan mendapatkan bantuan kesihatan mental dikaitkan dengan daya tahan yang lebih baik.

Ini bagi saya bahagian yang sangat penting.

Kadang-kadang kita fikir anak yang pergi sekolah, balik rumah, makan dan bermain seperti biasa bermaksud semuanya baik-baik sahaja.

Belum tentu.

Zaman remaja ialah tempoh perubahan otak, sosial dan emosi yang sangat besar.

Dan masalah seperti anxiety dan depression sering mula muncul dalam tempoh ini.

Sesekali duduk. Bercakap. Tanya apa yang berlaku dalam hidup mereka. Kemudian dengar. Untuk memahami dunia yang sedang dibina dalam kepala mereka.

Anak mungkin belum mempunyai kemahiran komunikasi untuk mengatakan, “Saya ada cabaran psikososial.” Sebab itu orang dewasa perlu menyediakan ruang supaya mereka selamat untuk bercakap

Penting bahawa apabila mereka bercakap, mereka merasakan ada seseorang yang benar-benar mahu mendengar.

Similar Posts