Kerap tidur siang, risiko nyanyuk meningkat 48% menurut kajian 10 tahun

Mereka yang kerap tidur siang mempunyai risiko demensia 48% lebih tinggi

Anda jenis yang suka tidur siang? Lepas makan tengah hari, mata mula berat. Kalau dapat baring sekejap memang nikmat rasanya.

Tidur siang ni sebenarnya ada manfaat. Boleh bantu tingkatkan alert, kurangkan rasa mengantuk dan pulihkan tenaga. Kalau saya tidur juga tapi tak lama 30 minit saja.

Cuma ada satu kajian terbaru daripada Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health yang menarik perhatian saya.

Pengkaji mendapati warga emas yang kerap tidur siang, hampir setiap hari atau setiap hari, mempunyai risiko mengalami demensia 48% lebih tinggi berbanding mereka yang jarang atau langsung tak tidur siang.

Menariknya, hubungan ini masih wujud walaupun pengkaji mengambil kira tempoh tidur malam, masalah kesihatan dan beberapa faktor lain.

Jadi, adakah tidur siang boleh menyebabkan otak kita rosak?

Kita tengok apa sebenarnya yang ditemui dalam kajian ini.

Kajian 10 tahun terhadap hampir 1,000 warga emas

Kajian yang diterbitkan dalam The Journals of Gerontology: Series A ini melibatkan 995 orang warga emas berusia 65 tahun ke atas di Amerika Syarikat.

Pada permulaan kajian tahun 2013, mereka tidak menunjukkan tanda demensia berdasarkan kaedah penilaian yang digunakan penyelidik.

Kemudian, peserta dipantau sehingga tahun 2023. Lebih kurang 10 tahun.

Pengkaji nak tahu sama ada tabiat tidur siang mempunyai hubungan dengan risiko seseorang mengalami demensia apabila semakin berusia.

Mereka melihat tiga perkara utama.

Pertama, kekerapan tidur siang.

Warga emas yang tidur siang hampir setiap hari atau setiap hari didapati mempunyai risiko demensia 48% lebih tinggi berbanding kumpulan yang langsung tak tidur siang.

Kedua, tidur siang yang tidak dirancang.

Contohnya, sedang duduk menonton televisyen, tiba-tiba tertidur. Sedang membaca buku pun boleh terlelap tanpa sedar.

Golongan yang mengalami tidur siang tanpa disengajakan ini mempunyai risiko demensia 39% lebih tinggi.

Ketiga, tempoh tidur siang.

Yang menarik, peserta yang tidur siang selama 30 minit atau kurang juga menunjukkan peningkatan risiko sebanyak 40% berbanding mereka yang tak tidur siang. (Alamak saya la tu tidur juga siang walaupun sekejap)

Walau bagaimanapun, angka ini ialah peningkatan risiko relatif dalam analisis statistik. Ia tidak bermaksud 48% daripada orang yang tidur siang pasti akan mengalami demensia.

Tidur siang itu sendiri belum terbukti menyebabkan demensia. Tetapi perubahan tabiat tidur siang mungkin sedang memberitahu sesuatu tentang keadaan otak kita.

Kenapa kerap tidur siang ada hubungan dengan demensia?

Ini bahagian yang menarik dari sudut neurosains.

Otak kita mempunyai rangkaian neuron yang mengawal keadaan berjaga, mengantuk dan tidur.

Antaranya melibatkan struktur di batang otak, hipotalamus dan beberapa kawasan subkortikal.

Sistem ini membantu kita kekal berjaga pada waktu siang dan menyelaraskan kitaran tidur dengan jam biologi badan atau circadian rhythm.

Apabila proses neurodegenerasi mula berlaku, ada kemungkinan rangkaian neuron yang mengawal keadaan berjaga ini turut mengalami perubahan.

Akibatnya, seseorang mungkin semakin sukar untuk kekal berjaga pada waktu siang.

Mudah mengantuk. Cepat terlelap. Walaupun dia sebenarnya tak merancang untuk tidur.

Sebab itu pengkaji melihat tabiat tidur siang sebagai salah satu kemungkinan petunjuk awal perubahan neurologi.

Malah, apabila pengkaji mengecualikan peserta yang dikenal pasti mengalami demensia dalam lima tahun pertama, hubungan antara tidur siang yang kerap atau tidak disengajakan dengan demensia masih dapat diperhatikan.

Maknanya, perubahan tabiat tidur mungkin muncul beberapa tahun sebelum masalah kognitif dikenal pasti.

Namun, ada satu perkara penting.

Kajian ini bersifat pemerhatian. Ia hanya menunjukkan hubungan antara dua perkara dan belum dapat menentukan hubungan sebab dan akibat.

Ada kemungkinan perubahan awal pada otak menyebabkan seseorang semakin kerap tidur siang. Ada juga kemungkinan gangguan tidur dan kesihatan otak saling mempengaruhi.

Ada perubahan pada otak yang berlaku secara perlahan, bertahun-tahun sebelum seseorang mula menunjukkan masalah ingatan yang ketara. Corak tidur mungkin salah satu petunjuknya.

Jadi perlukah kita berhenti tidur siang?

Tak perlu sampai takut nak tidur siang.

Kajian ini melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas. Jadi, kita tak boleh terus menganggap keputusan yang sama berlaku kepada semua peringkat umur.

Malah, kajian terdahulu juga menunjukkan keputusan yang bercampur-campur. Ada yang mendapati tidur siang singkat membantu fungsi kognitif, manakala kajian lain menemui hubungan dengan kemerosotan kognitif.

Dalam kajian Johns Hopkins ini sendiri, tidur siang yang dirancang dan tidur siang yang jarang dilakukan tidak menunjukkan peningkatan risiko demensia yang signifikan.

Satu lagi perkara yang perlu difahami, maklumat tidur siang diperoleh melalui laporan peserta sendiri. Status demensia pula ditentukan menggunakan algoritma penilaian yang telah disahkan, dan bukannya diagnosis klinikal untuk setiap peserta.

Jadi masih banyak perkara yang perlu dikaji.

Pada pandangan saya, perkara paling penting ialah perhatikan perubahan corak tidur, terutama apabila usia semakin meningkat.

Kalau sebelum ini seseorang jarang tidur siang, tetapi sekarang hampir setiap hari dia terlelap tanpa sengaja, kita perlu ambil perhatian.

Lebih-lebih lagi jika perubahan itu disertai masalah ingatan, kekeliruan atau kesukaran mengurus aktiviti harian.

Periksa juga kualiti tidur malam. Macam saya kerap juga bangun pukul 2-3 pagi berjaga buat kerja lepas tu sambung semula tidur. Jadi memang siang macam perlu tidur sekejap.

Masalah seperti sleep apnea, gangguan tidur dan kesan ubat-ubatan juga boleh menyebabkan seseorang mudah mengantuk pada waktu siang.

Kalau perubahan ini berterusan atau mengganggu kehidupan harian, elok dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Tak semestinya ada demensia. Tetapi ada baiknya kita tahu apa yang sedang berlaku.

Kesihatan otak ni berkait tentang sejauh mana kita boleh mengingat sesuatu. Juga perubahan pada tidur, tumpuan dan tingkah laku harian.

Sebab itu penting untuk kita mengenali corak kehidupan sendiri dan mengambil perhatian apabila berlaku perubahan yang luar biasa.

Rujukan

Jiang, K., et al. (2026). Napping Characteristics and Incident Dementia: Results From the National Health and Aging Trends Study. The Journals of Gerontology

Similar Posts