Magic Mushroom boleh buat otak remaja suka menyendiri

Otak remaja masih dalam proses pembentukan. Pendedahan berulang kepada psychedelic sintetik menyebabkan perubahan tingkah laku sosial yang berpanjangan

Remaja ni zaman suka mencuba. Saya waktu sekolah menengah pun cuba merokok. Bila fikir balik mengarut betul. Tak ada sebab pun cuma nak nampak style saja.

Masalahnya, otak remaja masih melalui proses perkembangan dan penyusunan litar otak. Sebab itu pendedahan kepada bahan psikoaktif ketika usia sekolah dan remaja membawa kesan agak serius.

Satu kajian makmal yang diterbitkan dalam Nature Neuroscience (Julai 2026) menunjukkan pendedahan berulang kepada psychedelic sintetik 25C-NBOMe ketika fasa remaja menyebabkan perubahan tingkah laku sosial yang masih dapat dikesan apabila dewasa. Kesan yang sama tidak muncul apabila pendedahan diberikan ketika dewasa.

Otak remaja sedang membina sistem untuk kehidupan dewasa

Dalam kajian tersebut, penyelidik memberikan 25C-NBOMe secara berulang kepada tikus Sprague-Dawley sama ada ketika fasa remaja ataupun selepas mereka dewasa.

Apabila tikus yang terdedah ketika remaja mencapai usia dewasa, penyelidik mendapati mereka lebih cenderung mengelakkan konflik sosial yang memerlukan mereka bersaing mendapatkan sumber seperti makanan.

Menariknya, perubahan paling jelas ini bukan sekadar kerana tikus tersebut menjadi kurang sosial secara keseluruhan atau kehilangan kedudukan dominan. Ia lebih spesifik kepada kecenderungan untuk mengelakkan situasi persaingan.

Apa yang kita masukkan ke dalam otak ketika remaja mungkin tak berhenti memberi kesan selepas bahan itu hilang daripada tubuh. Ia berpotensi terus ganggu bagaimana litar otak sedang dibentuk.

Di sinilah isu penggunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menjadi lebih membimbangkan.

Ketika usia remaja, otak sedang belajar bagaimana hendak membaca situasi sosial, membuat keputusan, mengawal emosi, menghadapi tekanan dan menilai risiko.

Mengganggu sistem ini dengan bahan psikoaktif seperti magic mushroom ni ketika otak masih berkembang berpotensi menghasilkan kesan yang berbeza berbanding pendedahan terhadap otak yang sudah matang.

Komunikasi antara hippocampus dan orbitofrontal cortex terganggu

Penyelidik kemudian melihat apa yang berlaku di dalam otak.

Mereka menemui gangguan pada koordinasi dalam default mode network (DMN), iaitu rangkaian kawasan otak yang berkaitan dengan pemprosesan dalaman, memori serta beberapa aspek pemprosesan sosial dan emosi.

Antara perubahan yang paling kuat ialah penurunan koordinasi gelombang theta antara ventral hippocampus (vHPC) dan orbitofrontal cortex (OFC). Tahap gangguan komunikasi antara dua kawasan ini paling kuat meramalkan kecenderungan mengelakkan persaingan sosial ketika dewasa.

Hippocampus bukan hanya berkaitan dengan memori. Ia turut terlibat dalam pemprosesan konteks dan emosi.

Orbitofrontal cortex pula membantu otak menilai pilihan, ganjaran dan kemungkinan hasil daripada sesuatu tindakan.

Secara mudahnya, apabila dua kawasan ini gagal berkomunikasi dengan baik, cara otak membaca sesuatu situasi dan menentukan tindak balas boleh berubah.

Kita selalu fikir bahaya dadah hanya berlaku ketika seseorang sedang khayal. Tetapi kebimbangan yang lebih besar ialah apa yang mungkin berlaku kepada perkembangan litar otak selepas pendedahan itu berulang.

Lebih menarik, apabila penyelidik menggunakan teknik chemogenetics untuk mengaktifkan semula laluan vHPC → OFC pada tikus yang pernah terdedah kepada 25C-NBOMe (dadah psikedelik), tingkah laku mengelak tersebut berkurangan.

Sebaliknya, apabila laluan yang sama dihalang pada tikus kawalan, mereka mula menunjukkan tingkah laku pengelakan.

Ini memberi petunjuk bahawa perubahan pada litar tersebut bukan sekadar berlaku serentak dengan perubahan tingkah laku, tetapi memainkan peranan dalam menghasilkan tingkah laku tersebut.

Usia remaja ialah satu tempoh perkembangan yang sensitif. Dalam kajian ini, pendedahan yang sama menghasilkan kesan jangka panjang apabila berlaku ketika remaja yang membawa kesan sehingga dewasa

Sebab itu apabila bercakap tentang vape berisi bahan tidak diketahui, dadah sintetik, pil pesta atau psychedelic yang diperoleh daripada rakan dan internet, isu ini besar kesannya kepada individu.

Kita sedang bercakap tentang otak yang akan digunakan oleh remaja itu apabila dia menjadi orang dewasa.

Similar Posts