
Kita ni risau bila nak bagi anak phone. Video macam-macam keluar. Game mengarut berlambak. Takut terpengaruh tapi takut juga kalau jadi tak celik IT.
Kita selalu dengar satu nasihat yang nampak sangat mudah iaitu jangan bagi anak terlalu lama dengan skrin.
Lagi lama screen time, lagi teruk perkembangan emosi, tingkah laku dan sosial anak.
Tapi adakah hubungan itu benar-benar semudah itu?
Satu kajian longitudinal dari Scotland yang diterbitkan dalam JAMA Network Open pada 2026 memberikan gambaran yang lebih kompleks. Penyelidik mengikuti perkembangan ribuan kanak-kanak dari umur 5 tahun sehingga mereka masuk usia remaja.
Selepas faktor keluarga dan beberapa faktor lain diambil kira, penggunaan skrin tidak secara konsisten dikaitkan dengan perkembangan psikososial yang lebih buruk.
“Masalahnya mungkin bukan sekadar berapa lama anak tengok skrin. Kita juga perlu tahu apa yang dia tengok, bagaimana dia menggunakannya dan apa yang berlaku dalam kehidupannya.”
Screen time meningkat apabila anak semakin besar
Kajian ini menggunakan data daripada Growing Up in Scotland (GUS) dan melibatkan 3,786 kanak-kanak pada usia 5 tahun, 3,126 pada usia 10 tahun dan 2,598 apabila mereka berusia 15 tahun.
Memang jelas penggunaan skrin meningkat apabila usia bertambah.
Median penggunaan skrin di luar waktu sekolah meningkat daripada sekitar 2 jam sehari pada usia 5 tahun kepada 3 jam sehari pada usia 10 tahun.
Pada usia 5 tahun, sekitar 25% kanak-kanak menggunakan skrin sekurang-kurangnya 3 jam sehari. Apabila berusia 10 tahun, angka itu meningkat kepada 52.4%.
Masuk umur 15 tahun, penggunaan skrin pula sudah menjadi lebih spesifik. Ada yang banyak menonton video, ada yang gaming dan ada yang menghabiskan masa di media sosial serta aplikasi mesej.
Sebanyak 28.4% remaja berusia 15 tahun dalam kajian ini menggunakan media sosial atau aplikasi mesej sekurang-kurangnya 3 jam sehari.
Tetapi menilai kepada data, lebih banyak screen time tidak semestinya bermaksud lebih banyak masalah.
Pada usia 5 dan 10 tahun, selepas penyelidik mengambil kira faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, mereka tidak menemui hubungan yang konsisten antara screen time dengan risiko keseluruhan masalah emosi dan tingkah laku.
“Anak yang menggunakan skrin selama 3 jam tak semestinya akan mempunyai perkembangan emosi lebih buruk daripada anak yang menggunakannya sejam.”
Tetapi gaming terlalu lama ada signal yang perlu diberi perhatian
Ada satu perkara yang menonjol dalam kajian ini.
Pada usia 15 tahun, gaming yang sangat tinggi, 5 jam atau lebih sehari dikaitkan dengan 2.6 kali ganda odds untuk berada dalam kategori skor kesukaran psikososial yang lebih tinggi.
Apabila skor dianalisis dengan kaedah lain, menonton televisyen, filem atau video selama 5 jam atau lebih sehari serta gaming sekurang-kurangnya 3 jam sehari juga menunjukkan kaitan dengan skor kesukaran yang lebih tinggi.
Tetapi kita kena berhati-hati dengan perkataan “dikaitkan.”
Kajian ini tidak membuktikan bahawa gaming menyebabkan masalah tersebut.
Boleh jadi gaming berlebihan menyumbang kepada masalah. Tetapi boleh juga berlaku sebaliknya.
Contohnya, seorang remaja yang memang sedang mengalami masalah sosial, emosi atau hubungan dengan rakan mungkin lebih cenderung melarikan diri kepada permainan video.
Atau mungkin ada faktor ketiga yang mempengaruhi kedua-duanya.
Sebab itu correlation tidak semestinya causation.
Malah satu lagi dapatan menunjukkan penggunaan media sosial atau aplikasi mesej sekitar 1–2 jam sehari dikaitkan dengan odds kesukaran psikososial yang lebih rendah. Penyelidik sendiri mengingatkan supaya dapatan ini tidak ditafsirkan sebagai bukti bahawa media sosial melindungi kesihatan mental.
“Kalau seorang remaja gaming 5 jam sehari dan mempunyai masalah emosi, kita belum boleh terus simpulkan game itu puncanya. Tapi bila dah 5 jam main game, dah tentu masa untuk bersosial terhad”

Jadi, perlukah ibu bapa masih hadkan screen time?
Ya, screen time masih perlu diurus.
Cuma mungkin kita perlu berhenti melihat jumlah jam sebagai satu-satunya ukuran.
Bayangkan dua orang anak menggunakan telefon selama 2 jam.
Anak pertama video call dengan datuk nenek, tengok dokumentari, belajar melukis melalui YouTube dan bermain game bersama kawan.
Anak kedua pula doomscrolling seorang diri sehingga lewat malam, terdedah kepada cyberbullying dan kandungan yang tidak sesuai.
Sama-sama 2 jam.
Tetapi pengalaman psikologi mereka sangat berbeza.
Itulah antara kelemahan penting kajian ini. Penyelidik tidak mempunyai maklumat terperinci tentang jenis kandungan, konteks penggunaan, tingkah laku dalam platform dan penglibatan ibu bapa.
Data juga merangkumi tempoh dunia digital yang berubah dengan sangat pantas. TikTok sendiri muncul agak lewat dalam tempoh kajian. Jadi pengalaman digital remaja hari ini mungkin sudah berbeza.
Kajian ini juga tidak mengatakan skrin tiada risiko.
Penggunaan teknologi masih boleh berkait dengan masalah seperti kurang bergerak, cyberbullying, gangguan tidur atau pendedahan kepada kandungan berbahaya. Dalam masa yang sama, teknologi juga boleh memberikan akses kepada pendidikan, maklumat dan hubungan sosial.
Sebab itu mungkin soalan yang lebih baik untuk ibu bapa bukan sekadar:
“Berapa jam anak aku pegang telefon?”
Tetapi:
“Apa yang dia buat sepanjang masa itu dan selepas itu?”
Adakah skrin menggantikan tidur? Menggantikan aktiviti fizikal?Mengganggu pembelajaran? Mengurangkan interaksi dengan keluarga? Atau dia masih boleh fokus untuk belajar, berkarya dan bersosial secara sihat?
Screen time tetap penting. Tetapi perkembangan seorang kanak-kanak terlalu kompleks untuk kita ukur hanya menggunakan satu nombor pada jumlah screen time.
Rujukan:
McQuaid, F., Skafida, V., McQuillan, R., et al. (2026). Screen Use and Emotional, Behavioral, and Social Development in Children. JAMA Network Open. doi:10.1001/jamanetworkopen.2026.26804





