Kenapa kita susah terima bila realiti tak seperti yang diharapkan?

Otak kita sentiasa cuba menjangka apa yang akan berlaku. Tapi apa jadi bila realiti jauh berbeza daripada jangkaan? Kajian terbaru menemui peranan menarik claustrum

Pernah tak anda rasa kecewa bila sesuatu yang anda harapkan akhirnya jadi lain?

Anda dah buat perancangan. Dalam kepala anda dah bayangkan macam mana semuanya akan berlaku. Tapi apabila tiba masanya, hasil yang anda dapat jauh berbeza daripada apa yang anda jangkakan. Atau perancangan tu tak berjalan pun.

Contohnya, anda dah bersedia untuk dapat kenaikan pangkat. Prestasi kerja bagus, sasaran semua capai. Tapi akhirnya orang lain yang dapat.

Ataupun anda dah rancang nak pergi bercuti dengan keluarga. Semua dah siap, tiba-tiba ada perkara yang mengganggu rancangan anda.

Kenapa situasi macam ni boleh buat kita rasa kecewa, tertekan dan susah nak menyesuaikan diri?

Salah satu penjelasannya ada kaitan dengan cara otak kita membuat ramalan.

Otak manusia sebenarnya sentiasa cuba menjangka apa yang akan berlaku seterusnya. Berdasarkan pengalaman lalu, maklumat yang kita ada dan keadaan persekitaran, otak membina satu model mental tentang dunia.

Apabila sesuatu berlaku di luar jangkaan, otak perlu mengemas kini projection model tersebut.

Satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Nature Neuroscience pada 6 Oktober 2026 menemui bukti bahawa satu bahagian kecil otak yang dikenali sebagai claustrum terlibat dalam menjejak perbezaan antara jangkaan dan hasil sebenar.

Claustrum: Bahagian kecil otak yang masih misteri

Dalam otak kita ada satu struktur yang sangat nipis, terletak jauh di dalam otak dan dikenali sebagai claustrum.

Walaupun saiznya kecil, claustrum mempunyai hubungan saraf yang luas dengan banyak kawasan korteks serebrum.

Bayangkan claustrum sebagai satu bahagian dalam rangkaian komunikasi otak yang menerima dan menghantar maklumat kepada pelbagai kawasan lain.

Selama ini saintis masih cuba memahami apakah sebenarnya peranan struktur ini. Ada teori yang mengaitkannya dengan kesedaran (conciousness), perhatian dan penyelarasan aktiviti otak.

Namun, fungsi sebenarnya masih belum difahami sepenuhnya.

Dalam kajian terbaru ini, penyelidik dari Yale University dan beberapa institusi lain ingin mengetahui sama ada claustrum terlibat dalam proses pembelajaran apabila seseorang berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan.

Proses ini dikenali sebagai aversive learning.

Secara mudah, kita belajar mengenali keadaan yang boleh membawa hasil buruk, kemudian menyesuaikan tindakan supaya dapat mengelakkannya.

Otak kita sentiasa belajar daripada perbezaan antara apa yang dijangka dengan apa yang benar-benar berlaku.

Untuk mengkajinya, penyelidik merekodkan aktiviti neuron daripada tujuh pesakit epilepsi yang mempunyai elektrod ditanam di dalam otak bagi tujuan pemantauan klinikal.

Peserta diminta bermain satu permainan komputer. Mereka perlu mengawal kapal angkasa supaya dapat mengelakkan perlanggaran dengan asteroid.

Masalahnya, kedudukan laluan selamat sentiasa berubah.

Jadi peserta perlu belajar daripada pengalaman sebelumnya, menganggarkan laluan yang lebih selamat dan menyesuaikan keputusan apabila keadaan berubah.

Sambil peserta bermain, penyelidik merekodkan aktiviti neuron di claustrum, anterior cingulate cortex (ACC) dan amygdala.

Prediction error: Bila apa yang kita jangka tak sama dengan realiti

Ada satu konsep penting dalam neurosains yang dikenali sebagai prediction error.

Maksudnya, perbezaan antara apa yang otak jangkakan dengan apa yang benar-benar berlaku.

Contohnya, anda memandu ke tempat kerja menggunakan jalan yang sama setiap hari.

Berdasarkan pengalaman, anda menjangkakan perjalanan mengambil masa 30 minit.

Tiba-tiba hari ini jalan sesak teruk. Perjalanan mengambil masa sejam.

Di sinilah wujudnya prediction error.

Jangkaan anda 30 minit. Realiti pula 60 minit.

Apabila anda berhadapan dengan keadaan yang berbeza daripada jangkaan, otak boleh menggunakan maklumat baru ini untuk memperbaiki ramalan akan datang.

Mungkin esok anda keluar lebih awal. Ataupun cuba laluan alternatif.

Proses pembelajaran seperti inilah yang membantu kita menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah.

Dalam kajian ini, penyelidik menemui aktiviti neuron di claustrum dan ACC yang berkait dengan dua perkara penting, iaitu prediction error dan uncertainty.

Uncertainty merujuk kepada tahap ketidakpastian tentang apa yang mungkin berlaku.

Menariknya, kedua-dua kawasan otak ini menunjukkan corak aktiviti yang berbeza.

ACC menunjukkan isyarat berkaitan ketidakpastian walaupun dalam tempoh antara pusingan permainan.

Claustrum pula lebih jelas menunjukkan isyarat berkaitan ketidakpastian dan prediction error ketika peserta sedang aktif mengelakkan asteroid.

Ini menunjukkan kedua-dua struktur mungkin memainkan peranan yang berbeza dalam proses menjejak keadaan dan hasil sesuatu tindakan.

Apabila realiti berubah, otak perlu menilai semula maklumat yang ada supaya keputusan seterusnya lebih sesuai dengan keadaan.

Satu lagi dapatan menarik ialah aktiviti amygdala.

Kita selalu mengaitkan amygdala dengan emosi, ketakutan dan pengesanan ancaman.

Namun, dalam tugasan ini, penyelidik mendapati neuron amygdala menunjukkan hubungan yang lebih terhad dengan pemboleh ubah ketidakpastian dan prediction error yang mereka anggarkan melalui model matematik.

Ini memberi gambaran bahawa pembelajaran berkaitan ancaman dan ketidakpastian melibatkan beberapa rangkaian otak yang menjalankan fungsi berbeza.

Apa yang kita boleh belajar tentang kehidupan daripada kajian ini?

Saya rasa kajian ini menarik kerana ia membantu kita memahami bagaimana otak memproses keadaan yang berubah.

Dalam kehidupan, kita memang sentiasa berhadapan dengan ketidakpastian.

Ada perkara yang berjalan seperti dirancang. Ada juga yang berlaku di luar jangkaan.

Contohnya, dalam hubungan dengan orang lain.

Anda mungkin menjangkakan seseorang akan melayan anda dengan baik kerana selama ini anda melayan dia dengan baik.

Tetapi satu hari, orang itu bercakap kasar dengan anda.

Apa yang berlaku?

Jangkaan anda bercanggah dengan pengalaman sebenar.

Dalam situasi seperti ini, otak perlu memproses maklumat baru dan menentukan sama ada jangkaan sebelumnya masih sesuai.

Cuma, kita perlu bezakan antara apa yang dibuktikan melalui eksperimen dengan pengalaman emosi dalam kehidupan.

Kajian claustrum ini menggunakan permainan komputer yang melibatkan pengelakan asteroid. Ia tidak secara langsung menguji kekecewaan dalam hubungan, tekanan kerja ataupun bagaimana seseorang menerima kegagalan.

Namun, konsep prediction error boleh membantu kita memahami kenapa pengalaman yang bercanggah dengan jangkaan menjadi maklumat penting untuk proses pembelajaran.

Daripada sudut psikologi, ada beberapa perkara yang boleh kita praktikkan.

Pertama, belajar membina jangkaan yang fleksibel. Kita boleh merancang sebaik mungkin, tetapi pada masa yang sama menerima bahawa keadaan boleh berubah.

Kedua, apabila sesuatu yang tidak diharapkan berlaku, cuba perhatikan maklumat baru yang kita dapat. Adakah keadaan memang berubah? Adakah anda perlu menukar strategi? Ataupun jangkaan asal anda yang perlu dinilai semula?

Ketiga, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan satu pengalaman buruk. Pengalaman tersebut mungkin memberi maklumat baru, tetapi ia belum semestinya menggambarkan keseluruhan keadaan.

Semua ini merupakan cadangan pengurusan diri berdasarkan prinsip psikologi dan pembelajaran, bukannya intervensi yang telah diuji dalam kajian claustrum tersebut.

Mental yang kuat memerlukan keupayaan untuk belajar daripada pengalaman, mengubah jangkaan dan menyesuaikan tindakan apabila keadaan berubah.

Akhirnya, ada satu perkara yang saya rasa penting untuk kita faham.

Otak manusia mempunyai keupayaan untuk membina ramalan tentang dunia. Keupayaan ini sangat membantu kerana kita tak perlu mempelajari semuanya dari awal setiap kali berhadapan dengan situasi yang sama.

Namun, dunia sentiasa berubah.

Sebab itu kemampuan mengemas kini pemahaman berdasarkan maklumat baru sangat penting.

Kajian ini memberi satu lagi petunjuk tentang bagaimana rangkaian otak manusia menjejak ketidakpastian dan perbezaan antara jangkaan dengan realiti.

Bagi saya, salah satu ciri mental kuat ialah kemampuan menerima maklumat kehidupan yang baru, belajar daripadanya dan memperbaiki cara kita bertindak.

Kita boleh mempunyai harapan yang tinggi. Kita juga boleh merancang masa depan sebaik mungkin. Tetapi apabila realiti berubah, kita juga perlu bersedia untuk mengubah cara kita melihat sesuatu.

Rujukan

Hu, M., Dalvit, R., Medina-Pizarro, M., et al. (2026). Human claustrum neurons encode uncertainty and prediction errors during aversive learning. Nature Neuroscience.

Similar Posts